Sekilas
- Zaim Zaini memaafkan wanita dan lelaki yang didakwa menjatuhkan air muka isterinya, Mia, ketika mereka berniaga.
- Wanita tersebut tampil memohon maaf secara berani dan jujur, yang dihargai oleh Zaim dan Mia.
- Zaim juga memohon maaf kepada semua yang terlibat dan mengajak semua untuk saling menghormati dalam perniagaan.
Pengacara dan usahawan, Zaim Zaini memilih untuk memaafkan tindakan seorang wanita dan lelaki yang didakwa menjatuhkan air muka isterinya, Mia ketika sedang berniaga.
Menerusi perkongsian video di Tiktok, Zaim menghargai keberanian wanita yang dipercayai seorang pengusaha makanan itu kerana berani menampilkan diri untuk memohon maaf pada mereka.
“Setelah saya dan Mia berbincang, keputusan Mia untuk memaafkan akak katering ini saya hormati.
“Kami juga berterima kasih atas keberanian dan kejujuran akak katering ini untuk tampil mencari kami dan menjelaskan apa yang berlaku,”tulisnya.
Dalam pada itu, Zaim turut memohon maaf kerana telah menimbulkan rasa kurang senang pada mereka yang terlibat dengan insiden tersebut, selain menjadikan ia sebagai pengajaran pada masa akan datang.
“Saya dan Mia juga ingin memohon maaf kepada semua yang terlibat dan kurang senang dengan segala apa yang berlaku. Segalanya dengan izin Allah.
“Semoga perkara sebegini menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Marilah kita saling menghormati sesama kita terutama kita sesama yang sedang berjuang dalam perniagaan,”ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang wanita dan lelaki mengunjungi gerai Zaim dan Mia untuk membeli nasi goreng yang dijual oleh kedua pasangan itu.
Bagaimanapun, tindakan wanita berkenaan yang menegur Mia supaya memasak makanan lebih awal dan disimpan di dalam bekas tahan panas telah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.]