Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Berita

Isu Nyanyi Lagu Sendiri: Bintang GV 3 Diberi Kelonggaran Pilih Lagu – Astro

Kamaruddin Razal 28/11/2016 | 03:21 MYT
Bintang GegarVaganza 3 (GV 3), Ameng Spring telah berjaya melayakkan diri ke konsert minggu akhir yang berlangsung pada Ahad hadapan.
Namun begitu, timbul pertikaian apabila Ameng ditugaskan untuk menyanyikan lagu sendiri di konsert minggu akhir.
Di segmen 'Ada Lagu Ada Lagi' pada konsert separuh akhir yang berlangsung malam tadi, hos GV 3, Nabil Ahmad dan Jihan Muse mengumumkan vokalis kumpulan Spring itu bakal menyanyikan lagu sendiri yang berjudul Bourgenvilla dan Romantis.
"Astro memberi kelonggaran kepada bintang GV 3 untuk memilih lagu yang bakal mereka nyanyikan. Sebelum ini pun ramai bintang GV pada musim terdahulu menyanyikan lagu mereka sendiri.
"GV disertai oleh penyanyi profesional, bukan seperti Akademi Fantasia atau program realiti lain. Peminat tidak harus menjadikan perkara ini satu isu.
"Saksikan dahulu bagaimana seseorang bintang itu mempersembahkan lagu mereka di pentas GV. Pemarkahan tidak dikira menerusi lagu apa yang dibawakan, tetapi bagaimana mereka persembahkan lagu tersebut.
"Sebelum ini, ada juga bintang yang membawakan lagu sendiri tetapi markah kedudukan mereka tidaklah berada di carta paling atas sekali," kata Raqim Ahmad selaku Ketua Saluran Melayu Astro.
Tambah Raqim, penyingkiran Nora juga bukan disebabkan isu pemilihan lagu. Sebelum ini, Nora dilanda kontroversi kerana enggan menyanyikan lagu pilihan media dan memilih untuk menyanyikan lagu sendiri.
Bagaimanapun, di konsert minggu separuh akhir, Nora akhirnya menyanyikan lagunya sendiri bersama lagu pilihan media secara medley.
"Pihak Astro ingin menjelaskan yang penyingkiran Nora bukanlah disebabkan oleh isu lagu yang terjadi sebelum ini. Beberapa hari sebelum konsert minggu separuh akhir, Nora sendiri yang mahu menyanyikan semula lagu pilihan media.
"Selepas markah tiga juri dikumpulkan, Nora mengutip mata paling rendah dan perjalanannya terhenti di konsert minggu separuh akhir.
"Bermula di musim pertama, pihak Astro memang menyerahkan kuasa pemarkahan di tangan juri profesional, bukan di tangan penonton. Pihak Astro juga yakin yang juri profesional yang dilantik sudah semestinya arif di dalam bidang mereka.
"Pengiraan markah setiap bintang juga dibuat secara telus dan ada auditor yang dilantik untuk menyelia markah bintang GV pada setiap minggu," katanya lagi.
GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).
Konsert minggu akhir GV 3 bakal menyaksikan bintang GV 3 menyanyikan dua buah lagu. Enam bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.
Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @rz.works dan @littlestars_photography
#GegarVaganza3 #Ameng Spring #Nora
;