Sekilas
- Penyanyi Ahmad Nubhan membuat laporan polis selepas mengeluarkan barangan bekas isterinya dari rumah mereka di Senawang pada 29 Disember lalu.
- Bekas isteri Nubhan pula membuat laporan polis pada 1 Januari kerana tidak berpuas hati tindakan pemindahan barang tanpa kebenaran, termasuk dakwaan kehilangan wang tunai dan barang kemas.
- Kedua-dua laporan polis dirujuk ke Mahkamah Syariah selepas siasatan awal, manakala Nubhan dan Afifah sah bercerai kali kedua pada 26 Ogos lalu.
Penyanyi Ahmad Nubhan Ahmad, 39, telah membuat laporan polis selepas mengeluarkan barangan milik bekas isterinya dari rumah yang didiami bersama anak-anak mereka di Senawang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, penyanyi berkenaan telah membuat laporan pada 29 Disember lalu.
“Polis telah menerima satu laporan yang dibuat oleh penyanyi itu, yang mana dia telah datang ke rumahnya di Taman Lavender Heights untuk mengeluarkan barang-barang milik bekas isterinya bagi dihantar ke rumah bekas mentuanya.
“Kemudian, pada 1 Januari lalu, wanita itu pula telah membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Nubhan yang memindahkan barang-barang kepunyaannya tanpa keizinan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun, katanya, siasatan awal telah dijalankan dan kedua-dua laporan polis tersebut diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) dan dirujuk kepada Mahkamah Syariah.
Sebelum ini, media melaporkan Afifah atau dikenali sebagai Dr Fie telah membuat laporan polis berhubung isu barangan peribadinya dipindahkan keluar tanpa notis.
Perkara itu turut disahkan peguam syarie yang mewakili wanita terbabit, Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang memaklumkan laporan tersebut turut membabitkan dakwaan kehilangan wang tunai serta barangan kemas.
Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai kali kedua dengan Afifah.
Lafaz cerai pertama dibuat pada 19 Januari 2017 sebelum pasangan itu rujuk pada 21 Januari 2017, manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk yang membabitkan kejadian pada 2017 dan 26 Ogos lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; serta Afzan Nayille, 3.
Sumber: Sinar Harian