Sekilas
- Mek Yun mengutuk tindakan penyiksaan kejam terhadap anjing peliharaan bernama Rocky yang tular di media sosial baru-baru ini.
- Beliau menegaskan manusia tiada hak menyiksa haiwan walaupun haiwan tersebut berbahaya dan menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak berkuasa.
- Mek Yun menyifatkan perbuatan tersebut sebagai 'pure evil' yang bertentangan dengan ajaran agama dan menyeru hentikan normalisasi kekejaman terhadap haiwan.
Pempengaruh media sosial, Mek Yun tampil mengulas isu penyiksaan dan kekejaman terhadap haiwan yang membabitkan seekor anjing peliharaan iaitu Rocky yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Terkedu melihat situasi tersebut, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee mempersoalkan sifat kemanusiaan terhadap haiwan.
Katanya, manusia tiada hak untuk menyiksa haiwan sehingga mati meskipun haiwan tersebut berbahaya.
“Saya speechless. Saya tak boleh hadam, mana sifat kemanusiaan kalian pergi. Macam mana hati korang tergamak untuk buat sedemikian. Kalau betul haiwan itu berbahaya, awak tiada hak untuk menyeksa seekor haiwan sampai mati,”ujarnya.
Mek Yun turut berkata bahawa, cara yang terbaik untuk mengendalikan situasi tersebut adalah dengan melaporkan perkara tersebut kepada pigak berkuasa dan bukanlah membuat tindakan sembarangan.
“Buat cara betul dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Biar mereka yang uruskan. Bukan buat tindakan sendiri dengan menyiksa dan membunuh haiwan dengan kejam,”tegasnya.
Dalam masa sama, Mek Yun turut menyifatkan perbuatan tersebut sebagai ‘pure evil’ dan bercanggah daripada ajaran setiap agama.
“Kalau korang sanggup tengok seekor haiwan diseksa sampai mati, itu adalah pure evil. Tak kisahlah agama apa pun. Tiada agama ajar kita untuk seksa haiwan sampai mati. Hentikan normalisasi kekejaman terhadap haiwan,”katanya lagi.
Terdahulu, seorang pemilik haiwan tular di media sosial selepas anjing peliharaanya iaitu Rocky didakwa telah diseksa oleh sekumpulan individu sehingga mengakibatkan kematian.