Sekilas
- Erma Fatima menjelaskan dia berhak memilih mana-mana novel untuk dijadikan drama atau filem tanpa perlu persetujuan orang lain.
- Erma menganggap kritikan netizen di media sosial sebagai sia-sia dan tidak memberi perhatian kepada komen negatif tersebut.
- Erma mempertahankan penulis novel Kaisar, Mustaqim Jiwa, dan menegur netizen yang mengkritik tanpa mengetahui isi kandungan novel itu.
Penerbit dan pengarah Erma Fatima tampil menjelaskan mengenai fotonya bersama penulis novel Kaisar, Mustaqim Jiwa di Festival Novel Malaysia sehingga menjadi salah faham ramai.
Menurut pemilik nama penuh Fatimah Rahmad Ali, 58, dia berhak untuk mengambil mana-mana novel sebagai sebahagian dari karyanya dan tidak memerlukan persetujuan ramai.
“Kalau saya nak ambil pun, saya punya suka. Siapa mereka untuk menghalang saya daripada mengambil novel itu? Mereka tiada hak untuk menghalang saya daripada mengambil Kaisar sebagai drama atau filem. Itu hak saya!
“Sebagai pengkarya, saya ada hak untuk memilih karya siapa yang saya nak buat. Mereka tiada hak apa-apa. Mereka nak tengok, tengoklah. Tak nak tengok, sudah. Itu sahaja.
“Sebab kalau saya keluarkan drama pun, saya tak minta tuntutan apa-apa daripada mereka. Kalau rasa tak suka, jangan tengok atau kutuk,” katanya kepada Gempak.
Erma berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Tahlil Tun Hasmah anjuran Datin Seri Umie Aida yang berlangsung di kediamannya di Kuala Lumpur pada malam Selasa.
Menurut Erma, dia menggangap netizen yang mengkritik di media sosial sebagai perkara yang sia-sia memandangkan dia tidak pernah memberi perhatian pada komen-komen tersebut.
“Mereka nak cakaplah berbuih-buih di Threads itu. Pertama sekali, saya memang tak baca Threads. Buang masa sahaja nak kutuk saya di situ.
“Saya tahu bila musim kenduri kutuk, memang saya tak baca langsung. Komen di Instagram pun jarang saya baca, apatah lagi ketika musim kenduri kutuk,” katanya.
Dalam masa sama, Erma turut mempersoalkan tindakan netizen yang bertindak mengecam dan menghukum Mustaqim tanpa mengetahui niat asal dan kandungan novel miliknya.
“Budak itu tiada dosa apa. Dia menulis novel dan datang untuk pitch novel dia kepada saya. Siapa pun saya buka untuk pitch novel. Dia mungkin boleh jadi filem kalau bagus, boleh jadi drama.
"Ada ramai yang datang pitch pada hari itu, kenapa pergi serang dia? Apa dosa budak itu? Kau sudah baca ke novel dia yang nak kata novel dia tak berjenis? Itulah manusia, menghukum saja," ujarnya.
Katanya lagi, usaha Mustqim dalam menulis novel adalah lebih baik berbanding mereka yang menggunakan penulisan untuk menjatuhkan seseorang.
“Setidak-tidaknya budak itu tulis novel. Dia bukan tulis komen yang buruk-buruk tentang orang di media sosial.
“Dia lebih bijak daripada orang yang buat perkara itu kerana kadang-kadang apabila menulis, keluar pula kebodohan sendiri.
“Mereka tak tahu apa-apa tetapi sebab tangan gatal nak menulis komen. Lebih baik jadi manusia yang berfikiran waras sedikit,”tegasnya.
Sebelum ini, nama Erma menjadi bualan dalam kalangan pengguna Threads yang meluahkan kebimbangan jika pengarah dan penerbit itu memilih novel Kaisar sebagai salah satu karya terbaharunya.