Sekilas
- Izzat dari kumpulan ALPHA berkongsi rasa rindu dan kesedihan menjelang ulang tahun pemergian bapanya.
- Walaupun berjaya membina kehidupan sendiri, Izzat akui rasa sunyi dan penat bukan kerana kerja tetapi kerana kehilangan insan tersayang.
- Dia berharap bapanya bangga dengan apa yang sedang dibinanya dan merindui kehadiran bapanya dalam hidupnya.
Ahli kumpulan ALPHA, Izzat meluahkan rasa rindu terhadap arwah bapanya dan mengakui mula berasa sedih menjelang ulang tahun pemergian insan tersayang itu.
Menerusi perkongsian di Threads, Izzat berkata perasaan tersebut mula menyelubungi dirinya meskipun kini dia berjaya membina kehidupan yang diimpikan.
“Lagi sebulan sebelum hari ulang tahun pemergian abah dan saya dah mula rasa kesedihan itu dah mula menyelubungi diri saya.
“Pelik bagaimana hidup yang pernah kita impikan dan doa akhirnya tercapai tetapi ada hari masih rasa kesepian. Tinggal jauh, bina hidup sendiri, balik rumah dalam keadaan rumah kosong, imbangi tuntutan kerja, keletihan dan emosi sendiri,” tulisnya.
Mengulas lanjut, Izzat menjelaskan keletihan yang dirasainya bukan kerana tuntutan kerja, sebaliknya berpunca daripada kesunyian dan kerinduan terhadap arwah bapanya.
Pelantun lagu P. Ramlee Saloma itu juga berharap agar bapanya dapat menyaksikan sendiri kehidupan yang sedang dibinanya ketika ini.
“Kadang penat bukan kerana kerja tetapi kerana kesunyian. Terlalu rindukan rumah, rasa bersalah dan rindu seseorang yang sepatutnya ada di sini untuk menyaksikan semua ini.
“Ada kalanya saya rasa bersalah kerana berada begitu jauh dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Namun, saya sedang belajar bersyukur dengan kehidupan yang ada dan pada masa yang sama tetap bersedih. Tak semestinya saya perlu memilih salah satu.
“Hari demi hari. Saya harap abah bangga dengan kehidupan yang sedang saya usahakan bersungguh-sungguh untuk bina ini. Alangkah indahnya kalau abah dapat melihat semuanya,” kongsinya.