Sekilas
- Remy Ishak berkongsi bahawa dirinya sedang mengalami gangguan mistik yang menyebabkan banyak perkara pelik berlaku dalam hidupnya.
- Walaupun merasakan entiti tersebut mahu dia keluar dari rumah, Remy bertekad untuk mencari solusi dan tidak akan berpindah.
- Remy merujuk kepada ustaz dan rakan terdekat untuk mendapatkan bantuan serta melihat gangguan itu sebagai teguran untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Pelakon, Remy Ishak berkongsi bahawa dirinya kini berada dalam fasa diganggu perkara mistik dan banyak perkara pelik berlaku dalam hidupnya, sejak kebelakangan ini.
Menurut Remy, dia akan berusaha mencari solusi bagi menyelesaikan gangguan tersebut meskipun merasakan seolah-olah ‘entiti’ berkenaan mahu dirinya keluar dari rumah tersebut.
“Saya di fasa di mana banyak perkara mistik berlaku pada saya sejak akhir-akhir ini. Banyak perkara pelik terjadi dalam hidup saya. Namun, disebabkan itu rumah saya, saya akan cari solusi. Saya tidak akan pindah keluar dari rumah saya.
“Saya rasa benda itu nak suruh saya keluar dari rumah. Dia menjelma jadi isteri saya. Ia tidak mengganggu anak. Mungkin perasaan saya sahaja,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, pelakon supertele Bisikan Pontianak itu berkata dia tidak mahu berkongsi lebih lanjut mengenai perkara tersebut dan banyak merujuk kepada ustaz serta rakan terdekatnya.
“Kalau cakap pasal ini, semua orang akan faham. Nanti orang cakap kita kuno. Saya percaya perkara ghaib. Saya selalu bercerita dengan circle saya seperti ustaz dan kawan-kawan.
“Saya pernah melalui fasa ini sebelum ini. Memang dari dulu lagi. Ia ganggu emosi dan energi. Saya pun tidak mahu ulas panjang kepada umum,” ujarnya.
Remy turut melihat perkara tersebut dari sudut positif dan menganggap ia mungkin teguran daripada Allah agar dirinya lebih mendekatkan diri kepadanya.
“Saya sedang mengalami perkara pelik, sampai macam ini tahap gangguannya. Saya dalam fasa yang agak menarik. Mungkin Allah suruh saya makin dekat dengan dia,” kongsinya.