Sekilas
- Abby Abadi berkongsi momen berharga bercuti bersama keluarga di Terengganu di platform Threads.
- Dia menasihati anak-anak supaya saling menjaga dan tidak memutuskan hubungan kekeluargaan walau apa pun berlaku.
- Abby juga mendedahkan suaminya, walaupun jarang meluahkan kasih sayang, sentiasa mendoakan anak-anak mereka.
Pelakon, Abby Abadi mencuri perhatian selepas memuat naik foto bersama keluarganya yang sedang bercuti di Terengganu.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Manan berkata dia amat menghargai setiap detik bersama suami dan anak-anaknya meskipun jarang berjumpa dan berkumpul seperti itu.
“Bersama anak-anak abah jaiezzany. Walaupun sesekali sahaja dapat berkumpul begini, setiap saat bersama kalian adalah waktu yang paling berharga buat Mama dan Abah,”tulisnya.
Ahli kumpulan Elite itu turut berpesan agar anak-anaknya saling menjaga antara satu sama lain dan tidak memutuskan ikatan kekeluargaan walau berdepan apa-apa liku kehidupan.
“Membesarlah menjadi anak yang baik, saling menjaga. Jangan pernah putus kasih antara kita walaupun suatu hari nanti kalian akan punya kehidupan sendiri,”ujarnya.
Dalam pada itu, Abby turut berkata meskipun suaminya,Muhammad Faizal Zakaria tidak pandai menzahirkan kasih-sayangnya melalui kata-kata, namun nama anak-anaknya tidak pernah terlepas di dalam doanya.
“Abahnya berat mulut, mungkin tidak selalu pandai meluahkan tetapi ketahuilah dalam setiap doa Abah, sentiasaa ada nama anak-anak. Jadi, ingat Abah dalam doa kalian. Jangan lupa sebut nama Mama sekali,”kongsinya.