Sekilas
- Datuk Nora Ariffin menyeru ibu bapa untuk menilai tahap keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di sekolah berikutan peningkatan kes buli.
- Beliau menegaskan pentingnya sistem pencegahan, pemantauan, pelaporan, dan tindakan berkesan oleh pihak sekolah tanpa menuding jari kepada mana-mana institusi.
- Nora mengingatkan agar anak-anak berani bersuara dan ibu bapa sentiasa berkomunikasi dengan anak serta pihak sekolah demi keselamatan bersama.
Pelakon, datuk Nora Ariffin tampil berkongsi pandangan mengenai isu buli yang semakin berleluasa, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Nora meminta semua ibu bapa untuk memikirkan semula mengenai tahap keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di sekolah.
"Sejak kebelakangan ini, kita semakin kerap mendengar tentang kes buli yang melibatkan pelajar sekolah.
"Sebagai ibu bapa, sudah tentu timbul persoalan, sejauh mana anak-anak kita benar-benar selamat apabila berada di sekolah,"tulisnya.
Menurutnya, dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak di dalam hal tersebut, namun dia mempersoalkan sistem pengurusan pihak sekolah dalam menangani gejala buli.
"Saya tidak mahu menuding jari kepada sekolah kerajaan, sekolah agama, sekolah swasta atau mana-mana institusi tertentu. Kes buli boleh berlaku di mana-mana.
"Tetapi apabila sesuatu kes berlaku, kita perlu melihat sejauh mana pihak sekolah mempunyai sistem pencegahan, pemantauan, pelaporan dan tindakan yang benar-benar berkesan,"ujarnya.
Dalam masa sama, Nora turut berkata kedua anak dan ibu bapa perlu saling berkomunikasi dan berani bersuara dalam mempertahankan diri sendiri.
"Anak-anak juga perlu tahu bahawa mereka boleh bercakap dan melaporkan apa yang berlaku tanpa rasa takut & terancam.
"Ibu bapa pula perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak dan pihak sekolah.
"Jangan tunggu sehingga anak kita sendiri menjadi mangsa, baru nak ambil cakna.
"Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama, ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa,"ujarnya.