Sekilas
- Rita Rudaini menegaskan bahawa buli di sekolah boleh dihentikan jika pihak sekolah serius dan bertindak segera selepas menerima aduan mangsa.
- Beliau menegaskan bahawa buli bukan sahaja fizikal, tetapi juga bermula dengan kata-kata seperti ejekan dan provokasi yang boleh berlaku di mana-mana tempat.
- Rita menyeru supaya mangsa tidak didiamkan dan pelaku tidak dilindungi, dengan tindakan perlu diambil sejak aduan pertama diterima.
Pelakon, Rita Rudaini tampil berkongsi pandangan mengenai gejala buli yang semakin berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah.
Menerusi perkongsian di Threads, Rita berkata budaya buli itu boleh dihentikan jika pihak sekolah mengambil serius dan tindakan segera setiap kali menerima aduan daripada mangsa.
Menurutnya, kes buli berleluasa kerana pihak sekolah lambat mengambil tindakan sehingga menyebabkan para pembuli semakin berani menindas pelajar yang lebih lemah.
“Pada pendapat saya, kalau betul nak hentikan budaya buli di sekolah berasrama. Mulakan dengan satu perkara. Percaya dan ambil serius bila mangsa datang mengadu. Jangan tunggu sampai lebam, trauma dan tunggu kes besar baru nak ambil tindakan.
“Bila seorang pelajar berani mengadu, itu bukan bermakna dia lembik tetapi itu tanda dia sedang meminta pertolongan.
“Pihak sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk mereka mengadu, bukan tempat yang membuat mereka takut untuk bersuara.
“Buli membesar apabila pelaku rasa mereka akan terlepas dan mangsa pula belajar bahawa lebih selamat untuk diam. Nak hentikan buli? Jangan diamkan mangsa, jangan lindungi pelaku. Ambil tindakan dari dari aduan pertama,”tulisnya.
Dalam pada itu, Ibu tunggal kepada dua orang anak itu turut berkata bahawa buli bukan sahaja melibatkan fizikal, namun bermula dengan kata-kata seperti mengejek dan provokasi.
Malah, gejala buli juga boleh berlaku di semua tempat termasuklah asrama, tempat kerja dan organisasi.
“Buli tak semestinya bermula dengan tangan. Ia boleh bermula dari mulut. Perli, kutuk, jina, ejek dan provakasi.
“Bila dibiarkan, kata-kata boleh bertukar menjadi pergaduhan dan pukul memukul. Buli tak kenal umur atau tempat. Sekolah, asrama, tempat kerja, organisasi. Semua benda boleh berlaku. Jangan tunggu tangan naik baru nak panggil buli. Jadi, jangan abaikan aduan pertama walau sekecil mana pun walau ia bermula dari ejek mengejek,”katanya lagi.