Sekilas
- Jenazah Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan di Korea Selatan, telah tiba di Malaysia untuk penghormatan terakhir di Masjid Bandar Tasik Puteri.
- Allahyarham yang bekerja di sektor perkilangan di Korea Selatan sejak 2019, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas ditikam di bahagian perut.
- Pihak polis Eumseong telah menahan beberapa individu, termasuk seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an, bagi membantu siasatan kes bunuh dan pergaduhan tersebut.
Jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut ditikam dipercayai ketika cuba meleraikan pergaduhan di Korea Selatan, dilaporkan sudah tiba di Malaysia dan sedang dalam perjalanan ke Masjid Bandar Tasik Puteri untuk urusan penghormatan terakhir.
Menerusi perkongsian yang dibuat stesen radio Era di Instagram (IG), berita itu disampaikan sendiri oleh adik Allahyarham yang dikenali sebagai Ain Sephia.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan membantu sepanjang urusan membawa pulang arwah.
“Mohon terus doakan agar segala urusan dipermudahkan sehingga arwah selamat disemadikan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan berkumpulan di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Ahmad Shah, yang bekerja dalam sektor perkilangan dan menetap di Korea Selatan sejak 2019, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam pada bahagian perut.
Difahamkan, Allahyarham datang ke lokasi kejadian bersama isterinya selepas dihubungi seorang rakan senegara yang meminta bantuan susulan pergaduhan tersebut.
Siasatan awal mendapati suspek yang menikam mangsa serta beberapa individu lain yang terbabit dalam pergaduhan itu juga merupakan rakyat Malaysia.
Susulan kejadian, polis daerah Eumseong menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan beberapa kesalahan lain, manakala beberapa individu lain yang dipercayai terlibat turut ditahan.
Sumber: Era, Awani