Tindakan berani seorang jururawat di Himachal Pradesh, India, meredah sungai deras demi memastikan seorang bayi menerima suntikan imunisasi menjadi tular di media sosial, sekali gus mengundang pujian masyarakat.
Rakaman video menunjukkan Kamla Devi, 40, melompat dari satu batu ke batu lain sambil memegang kasut di tangan dan membawa beg galas di bahu ketika menyeberangi sungai deras di daerah Mandi pada Jumaat lalu.
Advertisement
Menurut Kamla, beliau mengambil risiko itu kerana bimbang bayi berkenaan tercicir daripada jadual imunisasi selepas ibunya tidak dapat hadir ke pusat kesihatan akibat cuaca buruk.
“Saya hanya fikirkan keselamatan bayi. Tiada perkara lain dalam fikiran saya ketika itu,” katanya kepada The Indian Express.
Kamla bertugas di Pusat Kesihatan Primer Sudhar dan turut diberi tanggungjawab di Sub-Pusat Kesihatan Swar, iaitu kawasan tempat tinggal bayi tersebut.
Sejak video tindakannya tersebar, beliau menerima pelbagai panggilan telefon dan ucapan penghargaan.
Ketua Pegawai Perubatan daerah, Dr Deepali Sharma, menyifatkan langkah Kamla sebagai keberanian luar biasa tetapi mengingatkan petugas kesihatan supaya tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa.
Di media sosial, orang ramai memuji dedikasi Kamla, namun turut menggesa pihak berkuasa menyediakan infrastruktur kecemasan agar petugas kesihatan tidak lagi terpaksa mempertaruhkan nyawa demi melaksanakan tanggungjawab.
Sumber: Sinar Harian