Sekilas
- Zeera Azizi tampil mempertahankan adiknya, Neera Azizi, yang menerima kecaman selepas memuat naik video ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah.
- Zeera menjelaskan bahawa mereka menunaikan umrah hasil tajaan penuh Neera tanpa meminta bayaran dan niat video itu hanyalah untuk berkongsi kebahagiaan.
- Neera telah memohon maaf atas kekhilafan tersebut dan menegaskan video itu dibuat sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
Kakak kepada pelakon dan penyampai radio, Neera Azizi iaitu Zeera Azizi merasakan diri terpanggil untuk menjelaskan isu tular berhubung adiknya yang memuat naik video ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Zeera berkata bahawa adiknya telah menerima pelbagai kecaman dan hinaan susulan dari video berkenaan dan dia sebagai seorang kakak tidak akan berdiam diri.
Katanya, keberadaan dirinya dan keluarga berpeluang menunaikan umrah ke Mekah adalah hasil dari tajaan penuh Neera tanpa meminta bayaran semula pada mereka.
“Disebabkan ramai sangat yang menghina dan mengutuk seperti kamulah insan paling mulia, saya sebagai kakak tidak akan berdiam diri.Keberadaan saya di tanah suci ini juga adalah atas rezeki adik saya yang menanggung kami sekeluarga ke sini tanpa meminta satu sen pun dari kami. Ini bukan kali pertama, dia taja kami sekeluarga,” tulisnya.
Dalam masa sama, Zeera akui perkara tersebut merupakan kekhilafan daripada pihak mereka sebagai manusia biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan.
Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa niat sebenar adiknya memuat naik video tersebut hanyalah kerana mereka ingin berkongsi kebahagiaan memandangankan mereka berdua telah dipertemukan di tanah suci kota itu.
“Sekurang-kurangnya dia sebagai seorang anak dan adik, dia telah melakukan kebaikan besar buat kami. Benar, apa yang terjadi itu adalah kekhilafan dan niat sebenar adik saya dan suaminya yang mutawwif itu hanyalah kerana ingin berkongsi kebahagaiaan memandangkan mereka berdua telah dipertemukan di kota suci ini. Jadi, bagi mereka mungkin di sini tempat yang tepat untuk mereka kongsikan berita gembira,”ujarnya.
Berikut merupakan penjelasan penuh daripada Zeera:

Terdahulu, video ‘gender reveal’ yang dikongsikan Neera di hadapan Kaabah telah mencetuskan perdebatan di media sosial apabila ada pihak yang menggangap tindakan tersebut kurang sesuai dan tidak menghormati kesucian lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, Neera sendiri telah tampil membuat permohonan maaf susulan isu tular itu dan menjelaskan bahawa rakaman tersebut dibuat tanpa niat lain selain sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan rezeki daripada Allah SWT.