Sekilas
- Hisham Hamid berkongsi bahawa industri seni memerlukan usaha dan pengorbanan tinggi dengan waktu kerja yang boleh mencecah 12 hingga 17 jam sehari.
- Beliau menyeru orang ramai untuk menyokong karya tempatan dengan menonton di saluran sah bagi memastikan kelangsungan industri dan pendapatan yang adil kepada semua pihak terlibat.
- Drama psikologi romantik 'Saat Aku Tahu' yang dibintangi Hisham akan ditayangkan di Viu mulai 6 November setiap Khamis dan Jumaat, menampilkan pelakon-pelakon hebat lain seperti Ummi Nazeera dan Datuk Eizlan Yusof.
Pelakon, Hisham Hamid mendedahkan bahawa industri seni memerlukan usaha dan pengorbanan yang tinggi dari pelbagai pihak untuk menghasilkan sesebuah naskhah yang berkualiti tinggi.
Hisyam atau nama penuhnya Hazmi Hisyam Abdul Hamid menjelaskan bahawa anak seni bekerja melebihi waktu bagi memastikan setiap babak disempurnakan mengikut kehendak produksi.
"Untuk menghasilkan sesebuah drama atau filem, ia memerlukan usaha yang sangat banyak. Kami kerja hingga 12 ke 14 jam. Kadang-kadang sampai 17 jam sehari. Kalau kita tengok pengarah, krew atau mereka di belakang tadbir, mereka bekerja dari awal pengembaraan hingga selesai. Tidak seperti pelakon, yang boleh pulang atau berehat sebaik sahaja babak kami tamat," katanya kepada Gempak.
Hisham berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri program MeleTOP di Bukit Jalil pada Selasa.
Memegang watak sebagai Zarif dalam drama 'Saat Aku Tahu', Hisham menyeru agar orang ramai menonton menyokong karya tempatan di saluran yang sah kerana ia boleh memberi impak yang besar dalam kelangsungan industri dan nasib mereka yang bertungkus-lumus menghasilkan sesebuah karya.
"Mereka hari-hari tinggalkan keluarga dan banyak pengorbanan yang mereka lakukan demi karya mereka. Jadi, hargailah effort kami semua dengan menonton di saluran yang betul. Kalau tidak, stesen tidak dapat nak kumpul rating untuk dapatkan sponsor. Revenue pun akan turut terkesan. Akhirnya, mereka yang telah membanting tukang yang terkesan dengan kesan negative terhadap pelaku yang tidak bertanggungjawab ini," ujarnya.
Untuk info, ‘Saat Aku Tahu’ adalah sebuah drama psikologi romantik tentang kepercayaan, kekecewaan dan dendam dalam hubungan.
Drama ini menemui penonton pada 6 November, siri 15 episod tersebut akan ditayangkan di platform Viu pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
Selain Hisyam, drama ini juga membariskan pelakon-pelakon hebat lain antaranya Ummi Nazeera, Anna Jobling, Luqman Hafidz, Datuk Eizlan Yusof dan Quinneyra Alyssha.