Pelakon, Tiz Zaqyah mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati pada awal tahun hadapan.
Menurut Tiz, dia dan pasangannya tinggal di kawasan kejiranan yang sama serta telah mengenali satu sama lain sejak kecil lagi.
Advertisement
Katanya, dia tidak mempunyai sebarang kebimbangan mengenai hubungan mereka kerana segalanya telah direstui oleh kedua-dua belah keluarga.
"Inshaallah doakan yang terbaik. Kami kenal sejak darjah satu dan kami duduk kawasan kejiranan yang sama. Kami bercinta hampir setahun. Keluarga pun dah kenal dia. Jadi, tak perlu risau dah pasal itu.
"Tiada spesifik Tarikh. Namun, kemungkinan akan diadakan pada awal tahun hadapan," katanya kepada Gempak.
Tiz berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri sidang media drama Impiana: Karma di Pavillion Bukit Bintang pada Selasa.
Tiz turut berkongsi bahawa hubungan mereka bermula sekadar kawan, namun kerana banyak persamaan, hubungan itu akhirnya bertukar menjadi cinta.
"Sebelum ini, kami hanya berkawan sahaja tetapi mungkin disebabkan banyak persamaan rasa cinta itu pun hadir. Dia tua dua tahun dari saya. Alhamdulillah, saya sangat gembira. Dua-dua yang meluah perasaan sebab kami dah lama kenal. Rumah dekat nak raya pun senang," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Tiz kini membintangi drama Impiana: Karma yang bakal disiarkan bermula 19 November ini pada setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104).
Drama ini mengisahkan sekumpulan sahabat yang berusaha merealisasikan impian mereka, namun tanpa disedari terikat dengan satu perjanjian gelap yang akhirnya memporak-perandakan kehidupan masing-masing.
Impiana: Karma merupakan adaptasi daripada siri novel popular Impiana karya Ain Maisarah, yang bakal menampilkan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Che Puan Juliana Evans, Ezzany Jasny, Yuna Rahim, Sharifah Haneesya, Adriana Adnan, Dottie dan ramai lagi.