Sekilas
- Keluarga Ahmad Shah yang meninggal dunia akibat ditikam di Korea Selatan berharap jenazahnya dapat dibawa pulang ke Malaysia untuk dikebumikan.
- Mereka awalnya merancang pengebumian di Korea Selatan tetapi kos tinggi antara RM50,000 hingga RM60,000 menyebabkan mereka memilih membawa jenazah pulang.
- Ahmad Shah maut ketika cuba meleraikan pergaduhan di Eumseong, dan seorang lelaki warga Malaysia telah ditahan berkaitan kes bunuh tersebut.
Keluarga kepada Ahmad Shah, rakyat Malaysia yang dilaporkan meninggal dunia akibat ditikam di Korea Selatan berharap agar jenazah mangsa dapat dibawa pulang ke tanah air.
Menurut adik mangsa yang dikenali sebagai Ain Sephia, dia dan keluarga masih terkejut dengan kejadian yang menimpa abang sulungnya itu.
“Kami sekeluarga masih terkejut dengan berita yang menimpa abang, saya rasa macam tak percaya apa yang berlaku tetapi kami reda.
“Kami berharap jenazah abang dapat dibawa pulang ke tanah air untuk dikebumikan di sini,” katanya.
Menurut Ain, dia dan keluarga pada mulanya keluarga bercadang mahu mengebumikan jenazah abangnya di Korea Selatan namun kos yang tinggi menyebabkan mereka memilih untuk membawa jenazah mangsa pulang ke Malaysia.
“Pada mulanya memang mahu kebumikan abang di sana tetapi sebab kos terlalu tinggi kami sepakat bawa jenazah pulang.
“Anggaran kos bawa pulang jenazah antara RM50,000 hingga RM60,000 dan itu belum termasuk kos lain.
“Kos hospital sebanyak RM18,000 sudah dibayar oleh kakak ipar dan sumbangan rakan mereka di sana,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Ain mengesahkan mengenai kematian abangnya, Ahmad Shah dalam satu kejadian yang berlaku di Korea Selatan.
Jelas Ain, abangnya yang sudah tujuh tahun menetap di Korea Selatan dilaporkan maut ditika, ketika cuba meleraikan pergaduhan membabitkan rakannya di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Media Korea Selatan juga melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam satu pergaduhan berkumpulan membabitkan warga asing di daerah Eumseong.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an yang disyaki terbabit dalam kes bunuh serta beberapa kesalahan lain.
Sumber: Berita Harian