Sekilas
- Jo Kukathas dikenali menerusi wataknya sebagai Nancy dalam filem SAYANG SAYANG yang mengisahkan tentang komuniti pekak dan bisu di Pantai Timur Malaysia.
- Selain berlakon, Jo adalah penggiat teater, penulis, pengarah dan aktivis yang turut menubuhkan Instant Café Theatre pada 1989 untuk mengetengahkan isu sosial dan politik melalui seni persembahan.
- Filem SAYANG SAYANG akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober dan di Malaysia mulai 5 November, menampilkan pelakon seperti Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan dan Jo Kukathas.
Nama Jo Kukathas mungkin dikenali menerusi wataknya sebagai Nancy dalam filem SAYANG SAYANG, namun pelakon ini sebenarnya mempunyai latar belakang yang cukup luas dalam dunia seni persembahan.
Menerusi filem tersebut, Jo membawakan watak Nancy, seorang ibu yang membawa anaknya, Ajay lakonan Nandagopall Mohan pulang ke kampung halaman mereka di Pantai Timur Malaysia sebelum mengasaskan sebuah sekolah bahasa isyarat untuk membantu komuniti pekak dan bisu.
Namun, di sebalik penglibatannya dalam filem, Jo bukan sekadar seorang pelakon, malah merupakan penggiat teater, penulis, pengarah dan aktivis yang telah lama menyumbang kepada perkembangan seni dan budaya.
Jo memulakan kerjayanya dengan mengajar kesusasteraan serta menyemak pruf buku hasil tulisan bapanya, K. Das yang juga merupakan seorang penulis politik dan bekas ketua biro Far Eastern Economic Review.
Minatnya terhadap dunia lakonan kemudian membawanya ke pentas teater, sekali gus mempertemukannya dengan beberapa rakan seperjuangan, termasuk mendiang Jit Murad, Andrew Leci dan Zahim Albakri.
Bersama mereka, Jo menubuhkan Instant Café Theatre (ICT) pada tahun 1989.
Kumpulan teater progresif itu kemudiannya menjadi antara penggerak penting dalam mengetengahkan isu sosial dan politik menerusi seni persembahan di Malaysia.
Pada awal penubuhannya, ICT memberi tumpuan kepada satira politik dan karya eksperimental sebelum mengembangkan skop persembahan kepada isu-isu seperti kaum, agama, jantina dan perubahan iklim.
Pengalaman Jo dalam bidang teater turut membawanya ke peringkat antarabangsa apabila terlibat dalam persembahan, pengarahan, bengkel dan persidangan di pelbagai negara, termasuk Singapura, Jepun, Brazil, Australia, Amerika Syarikat, Jerman, Korea, India, Taiwan, China dan Filipina.
Selain itu, Jo turut menulis serta mempersembahkan persembahan solo dan komedi berdiri dengan membawa pelbagai watak. Jo juga pernah membuat persembahan di Museum of London menerusi karya teater eksperimental My Bodily Remains oleh artis British, Tai Shani.
Pada Mei 2020, Jo turut menghasilkan sebuah artikel yang membincangkan keadaan seni dan budaya di Malaysia. Artikel tersebut diterbitkan oleh portal seni Arts Equator dan kemudiannya digunakan dalam kurikulum seni oleh beberapa orang pensyarah.
Sumbangan Jo dalam dunia seni turut mendapat pengiktirafan apabila dia disenaraikan sebagai Asia's Most Influential bagi Malaysia pada tahun 2021, 2022 dan 2023 dan banyak lagi pencapaian lain.
Untuk rekod, Jo juga pernah menetap di Australia dan Hong Kong serta menghabiskan beberapa tahun menuntut ilmu di India dan Britain sebelum kembali ke tanah air.
Pengalaman hidupnya di luar negara turut menjadi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk dirinya sebagai seorang penggiat seni.
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza, Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, impian serta tempat mereka dalam kehidupan.
Filem tersebut turut menampilkan Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Lee Lee-Zen, Sasha Tang, Jo Kukathas, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Amir Ahnaf, Vemanna Appannah, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menggegarkan pawagam di Malaysia bermula 5 November depan.