Skip to main content

Jenayah

Kes Bunuh Sepupu: Ibu Mangsa Trauma, Terngiang-Ngiang Suara - “Aku Buat Anak Kamu Begini Kerana Dia Telah Tularkan Anak Aku”

Kes bunuh sepupu

“Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku.” Itu kata-kata yang masih terngiang di telinga seorang ibu warga emas selepas menyaksikan anak lelakinya maut ditetak bertubi-tubi oleh sepupu sendiri dalam kejadian tragis di Kampung Kok Bedollah, Tumpat, malam Jumaat.

Mangsa, Mohd Suhairi Hasim, 46, yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan bapa kepada dua anak, ditemukan berlumuran darah kira-kira jam 11 malam oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68.

Advertisement

Menceritakan detik ngeri itu, Wan Salma berkata, dia sedang bersiap untuk tidur apabila terdengar jeritan kuat anaknya dari luar rumah.

“Saya dengar dia menjerit ‘ALLAH... ALLAH...’ lebih 20 kali. Saya terus bangun dan tanya dari tingkap, ‘Kamu bergaduh dengan siapa pula, Hairi?’ tapi dia tak menjawab,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Bimbang sesuatu berlaku, Wan Salma bergegas keluar menuju ke kawasan anaknya mencuci jengkaut yang terletak berhampiran rumah.

Dalam kegelapan malam, dengan penglihatan yang rabun, dia menyangka lelaki yang berdiri di hadapan jengkaut itu adalah Mohd Suhairi
 

Namun sangkaannya meleset apabila lelaki tersebut merupakan anak saudaranya sendiri, bersuara dengan nada tenang tetapi menggerunkan.
 

“Dia kata, ‘Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku,’ sebelum terus berlalu pergi membawa senjata seperti parang,” cerita Wan Salma.
 

Menurutnya, dia hanya mampu kaku melihat anaknya terbujur kaku dalam keadaan mengerikan dengan tangan kiri dan kaki kanan putus, selain luka parah di pipi, belakang dan bahu.

“Darah memenuhi tubuhnya… saya terus menjerit panggil anak-anak lain yang tinggal berdekatan untuk datang membantu,” katanya sebak.

Mayat Mohd Suhairi dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat, dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, mengesahkan kejadian dan memaklumkan suspek berusia 40-an telah ditahan dan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement