Skip to main content

Berita

Kes Rocky: Shah, Roghini Mengaku Tak Bersalah

Kes Rocky: Shah, Roghini Mengaku Tak Bersalah

Sekilas

  • Peguam Muhammad Rafique menegaskan tiada unsur pembunuhan atau penyeksaan kejam dalam pertuduhan terhadap Muhammad Shah berhubung insiden penangkapan anjing liar Rocky.
  • Muhammad Shah dan pemilik anjing, S Roghini Devi, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kesakitan kepada anjing tersebut di Mahkamah Sesyen Klang.
  • Peguam juga menjelaskan Muhammad Shah adalah sukarelawan, bukan kakitangan MB Klang, dan meminta media serta netizen tidak memesongkan fakta kes.
Advertisement

Peguam mewakili lelaki dalam insiden kekecohan operasi penangkapan anjing liar baru-baru ini menegaskan bahawa tiada sebarang unsur pembunuhan atau penyeksaan kejam seperti yang didakwa dan ditularkan di media sosial.

Peguam terbabit, Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, berkata, pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen pada Khamis secara jelas hanya menyatakan anak guamnya dituduh secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali sehingga menyebabkan kesakitan.

Advertisement

Beliau memohon agar pihak media serta netizen tidak memesongkan fakta kes atau mereka-reka cerita yang tidak wujud dalam kertas pertuduhan.

"Tolong beritahu saya, mana perkataan 'membunuh'? Mana perkataan 'seksa'? Mana perkataan 'pukul' atau 'memukul dengan kuat sehingga menyebabkan kematian'?

"Kepada mereka yang selama ini melabelkan Shah sebagai seorang yang kejam, membunuh dan sebagainya, ini adalah peluang terbuka untuk anda memohon maaf kepada seorang pemuda yang baru berusia 24 tahun," katanya ketika ditemui media di luar perkarangan Mahkamah Sesyen Klang di sini pada Khamis.

Terdahulu, Muhammad Shah Idham dan pemilik anjing bernama Rocky, S Roghini Devi, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut pertuduhan, Roghini Devi didakwa secara tidak munasabah telah menarik, manakala Muhammad Shah dituduh menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu di sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Muhammad Rafique turut memperbetulkan tanggapan awam mengenai status anak guamnya dengan mengesahkan bahawa pemuda itu bukanlah kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang sebaliknya bertindak sebagai seorang sukarelawan.

Beliau juga menyokong kenyataan Ketua Polis Selangor yang memohon agar semua pihak tidak membesarkan isu tersebut atau membuat spekulasi liar mengenai baka anjing berkenaan.

"Shah telah tidak mengaku bersalah, memohon untuk dibicarakan dan dibenarkan diikat jamin RM6,000. Beliau akan hadir ke mahkamah untuk mempertahankan dirinya.

"Selain itu, wanita yang mendakwa sebagai pemilik anjing berkenaan turut berdepan dua pertuduhan, satu di Mahkamah Sesyen yang akan dibicarakan bersama kes anak guam saya, dan satu lagi di Mahkamah Majistret," tambahnya.

Sumber: Sinar Harian

Anda mungkin berminat dengan

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Must Watch Video

Advertisement