Sekilas
- Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan tiada unsur pembunuhan atau penyeksaan kejam dalam kes Muhammad Shah Idham yang dituduh menjerut anjing sehingga menyebabkan kesakitan.
- Muhammad Shah dan pemilik anjing, S Roghini Devi, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dikenakan denda atau penjara jika sabit kesalahan.
- Peguam juga menjelaskan Muhammad Shah bukan kakitangan MB Klang tetapi sukarelawan, dan meminta media serta netizen tidak memesongkan fakta kes.
Peguam mewakili lelaki dalam insiden kekecohan operasi penangkapan liar baru-baru ini menegaskan bahawa tiada sebarang unsur pembunuhan atau penyeksaan kejam seperti yang didakwa dan ditularkan di media sosial.
Peguam terbabit, Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, berkata, pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen pada Khamis secara jelas hanya menyatakan anak guamnya dituduh secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali sehingga menyebabkan kesakitan.
Beliau memohon agar pihak media serta netizen tidak memesongkan fakta kes atau mereka-reka cerita yang tidak wujud dalam kertas pertuduhan.
"Tolong beritahu saya, mana perkataan 'membunuh'? Mana perkataan 'seksa'? Mana perkataan 'pukul' atau 'memukul dengan kuat sehingga menyebabkan kematian'?
"Kepada mereka yang selama ini melabelkan Shah sebagai seorang yang kejam, membunuh dan sebagainya, ini adalah peluang terbuka untuk anda memohon maaf kepada seorang pemuda yang baru berusia 24 tahun," katanya ketika ditemui media di luar perkarangan Mahkamah Sesyen Klang pada Khamis.
Terdahulu, Muhammad Shah Idham dan pemilik anjing bernama Rocky, S Roghini Devi, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, Roghini Devi didakwa secara tidak munasabah telah menarik, manakala Muhammad Shah dituduh menjerut seekor anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu di sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, Muhammad Rafique turut memperbetulkan tanggapan awam mengenai status anak guamnya dengan mengesahkan bahawa pemuda itu bukanlah kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang sebaliknya bertindak sebagai seorang sukarelawan.
Sumber: Sinar Harian