Sekilas
- Pelakon Tisha Shamsir memohon maaf kepada majikannya, Datuk Yusof Haslam, selepas kes dadah yang melibatkannya mencemarkan nama baik penerbit itu.
- Tisha berharap diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini dan meminta netizen agar tidak cepat menghukum kerana dia masih menerima gangguan di media sosial.
- Mahkamah Majistret menetapkan 10 November untuk sebutan semula kes yang bermula selepas penahanan Tisha dalam serbuan Op Noda pada Julai lalu.
Pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0, Tisha Shamsir, memohon maaf kepada majikannya, Datuk Yusof Haslam selepas kes dadah membabitkan dirinya mencemarkan nama baik penerbit itu.
Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, 40, ketika ditemui selepas sebutan kes dadah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Khamis turut berharap agar dia diberikan kekuatan untuk menempuh ujian ini.
"Saya nak minta maaf. Saya tahu benda ini sedikit sebanyak mencemar nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam. Saya minta maaf kepada keluarga saya juga. Saya doakan yang terbaik.
"Apapun, ujian daripada Allah itu memang hebat, memang berat. Saya terima dengan hati terbuka dan saya cuma harap saya kuatlah," katanya kepada Harian Metro.
Mengakui kerjaya seninya sedikit terganggu, Tisha yang juga bekas peserta Mentor musim keenam memohon agar netizen tidak terburu-buru menjatuhkan hukum dan masih lagi menerima gangguan di media sosial.
"Itu perkara biasa. Kalau orang biasa pun diganggu, apatah lagi orang macam saya. Kita semua manusia biasa. Kita tak lepas daripada buat apa-apa kesilapan atau kekhilafan.
"Apapun, saya minta netizen di luar sana jangan cepat sangat menghukum," katanya.
Mahkamah Majistret menetapkan 10 November ini bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, Tisha ditahan bersama beberapa individu lain dalam serbuan Op Noda yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, awal Julai lalu.
Sumber: Harian Metro