Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kualiti Persembahan Peserta Ketika Raptai Lebih Baik – Ramli MS

Fiza Kamarudin
29/11/2016 11:30 MYT
Ketua juri merangkap Pengarah Muzik Gegar Vaganza 3 (GV 3), Ramli MS mengakui kualiti persembahan para peserta lebih baik berbanding persembahan sebenar.

Bagaimanapun, Ramli mengharapkan enam finalis GV 3 dapat memberikan persembahan terbaik pada malam final, Ahad ini.

“Sebagai pengarah muzik, saya bersama mereka selama tiga hari iaitu bermula pada Jumaat sehingga Ahad. Kualiti mereka pada sesi latihan selalunya lebih baik berbanding persembahan sebenar.

“Minggu terakhir ini mereka perlu bekerja keras dan mungkin saya akan minta Astro tambah sesi latihan bermula hari Khamis.

“Ya, persembahan mereka selalunya lebih baik ketika raptai mungkin kerana nervous apabila tiba hari pertandingan.

“Saya harap finalis memberikan persembahan yang seiring dengan prestasi semasa latihan di pentas akhir nanti,” katanya.

Apabila ditanya mengenai format pemarkahan yang diberikan kepada peserta yang menyanyikan lagu sendiri, Ramli berkata dia harus berlaku adil kepada semua peserta.

“Saya tidak kisah jika orang kata saya berkira memberi markah kepada peserta yang menyanyikan lagu sendiri kerana bagi saya dia effortless.

“Ibaratnya, orang lain berusaha untuk belajar menyanyi, menghafal dan belajar melodi lagu lain tetapi mereka yang menyanyikan lagu sendiri ini tidak perlu bersusah payah melakukan demikian.

“Jadi sebagai juri, saya perlu berlaku adil dan akan mengurangkan markah peserta yang menyanyikan lagu sendiri,” tegasnya .

Tambah Ramli lagi, format penjurian beliau mengikut skala kesukaran dalam mempelajari sesebuah lagu pada setiap minggu.

Bercakap soal prestasi finalis, Ramli berkata setiap peserta yang terpilih ke peringkat akhir bakal memberikan saingan sengit.

Konsert Akhir GV3 yang dijadualkan berlangsung Ahad, 4 Disember nanti bakal menyaksikan saingan sengit daripada enam peserta iaitu Intan Sarafina, Azharina, Zarul, Siti Sarah, Ameng dan Gmie.

Mereka merebut gelaran juara yang bakal pulang dengan hadiah wang tunai RM100,000 tajaan Qu Puteh.

Bersiaran secara langsung dari Dewan MBSA Shah Alam, Selangor, malam penentuan GV3 juga boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria, pukul 9 malam.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.

#Datuk Ramli MS #GegarVaganza
;