Sekilas
- Kumpulan Harimau Merah dinobatkan juara Jaguh Rakan Muda dan membawa pulang hadiah utama RM100,000.
- Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Kumpulan Gajah Hijau dan Kumpulan Jaguar Kuning, masing-masing menerima baucar menarik.
- Program ini memberi peluang kepada belia Malaysia mencabar diri melalui 10 Gaya Hidup Rakan Muda dengan pengacara Mat Redho dan pengulas terkenal.
Rancangan realiti baharu, Jaguh Rakan Muda akhirnya melabuhkan tirai apabila Kumpulan Harimau Merah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM100,000.
Tempat kedua pula menjadi milik Kumpulan Gajah Hijau, manakala tempat ketiga diraih oleh Kumpulan Jaguar Kuning.
Kedua-dua pasukan tersebut turut membawa pulang pelbagai baucar menarik, termasuk baucar penjagaan serta kesihatan diri.
Jaguh Rakan Muda merupakan platform yang memberi ruang kepada belia Malaysia untuk mencabar diri, berkembang dan mencungkil potensi menerusi 10 Gaya Hidup Rakan Muda iaitu Rakan Demokrasi, Rakan Litar, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.
Siri ini mencerminkan komitmen Astro dalam menghasilkan kandungan tempatan yang meraikan semangat belia, dengan menampilkan peserta yang mempamerkan keberanian, semangat berpasukan serta keazaman tinggi, sekali gus memberi inspirasi dan menyatukan rakyat Malaysia.
Jaguh Rakan Muda menampilkan personaliti televisyen dan atlet, Mat Redho sebagai pengacara, manakala atlet kebangsaan Goh Liu Ying serta pelakon Ain Edruce tampil sebagai pengulas.
Sepanjang siaran, beberapa pengulas jemputan turut diundang, antaranya Intan Serah, Bang Med, Que Haidar dan Denes Kumar.
Sekadar info, para peserta dipilih menerusi sesi uji bakat yang diadakan di seluruh negara melibatkan lima zon iaitu Utara (Pulau Pinang), Tengah (Kuala Lumpur), Pantai Timur (Terengganu) serta Sabah dan Sarawak.
Program ini menghimpunkan belia berusia antara 13 hingga 30 tahun daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, jurulatih kecergasan, peserta ratu cantik, pencipta kandungan, atlet kelainan upaya dan golongan profesional muda.
Sepanjang pertandingan, para peserta diuji menerusi pelbagai cabaran fizikal dan mental yang menuntut ketahanan diri, kepimpinan serta kekuatan emosi.