Penyanyi cilik, Umairah kini sah melangkah ke dalam industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbarunya berjudul Sayap.
Umairah atau nama lengkapnya Ummi Umairah Abdullah muncul di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia.
Advertisement
Meskipun masih bergelar pelajar sekolah, Umairah akui dia perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan karier.
“Saya sangat teruja kerana diberi peluang menyanyikan Sayap. Lagu ini menyentuh jiwa saya kerana ia menceritakan indahnya jatuh cinta tapi pedihnya menerima kehilangan,” katanya.
Single Sayap ciptaan Resa Husin dan Farouk Roman mengetengahkan melodi balada yang penuh emosi. Malah, Umairah berjaya menghidupkan lirik lagu tersebut dengan penghayatan yang cukup matang walaupun usianya masih muda.
Lagu ini boleh didengari di semua platform digital mulai 16 September 2025, manakala muzik video rasmi arahan Rifaiee Omar dari Rio Films Production sudah pun dilancarkan pada 17 September jam 3 petang di saluran YouTube Universal Music Malaysia.
Sebelum ini, Umairah pernah mencuri perhatian dengan lagu raya sulungnya, Tak Balik Raya yang mencecah hampir 1 juta tontonan.