Sekilas
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma akan disambung pada jam 9.30 pagi.
- Operasi SAR dihentikan malam tadi atas faktor keselamatan kerana arus deras dan keadaan gelap, dan mangsa masih belum ditemukan setakat ini.
- Ketika kejadian, 13 pekerja sedang bertugas di lokasi, dengan 12 daripada mereka berjaya diselamatkan termasuk warga Indonesia, Bangladesh, dan seorang tempatan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, Kuala Lumpur, akan diteruskan pada 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata operasi SAR dihentikan 11 malam tadi atas faktor keselamatan kerana keadaan arus deras dan persekitaran yang gelap.
"SAR seorang lelaki berbangsa India yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang petang tadi akan disambung semula pada jam 9.30 pagi esok (pagi ini).
"Setakat ini mangsa masih belum ditemukan, pasukan SAR yang terdiri daripada polis, bomba dan agensi lain akan menyambung pencarian esok pagi," katanya dalam kenyataan ringkas tengah malam tadi.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang semalam.
Sazalee dilaporkan berkata, ketika kejadian terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan di mana 12 daripada mereka dapat diselamatkan terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat), dan seorang tempatan.
Sumber: BH Online