Skip to main content

Berita

Lelaki Rugi RM1.5 Juta, Pelakon Wanita Janji Dapatkan Tanah Lot Kurnia

Astro Gempak 232

Sekilas

  • Seorang lelaki berusia 56 tahun membuat laporan polis selepas kerugian RM1.5 juta akibat penipuan jual beli tanah lot kurnia di Selangor yang tidak wujud melibatkan seorang pelakon wanita dan suaminya.
  • Suspek kini dipercayai berada di Sarawak dan telah didaftarkan sebagai orang dikehendaki serta dalam senarai pemantauan khas Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
  • Pendedahan mangsa lain di media sosial mendakwa kerugian sehingga ratusan ribu hingga jutaan ringgit, menyebabkan beberapa laporan polis dibuat dan netizen mula meneka identiti pelakon terbabit.

Polis daerah ini menerima laporan seorang lelaki 56 tahun mendakwa kerugian RM1.5 juta selepas diperdaya seorang pelakon wanita dan suaminya. 
Difahamkan, penipuan berkenaan membabitkan urusan penjualan tanah lot kurnia di Selangor yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, berkata laporan dibuat lelaki itu pada 7 Januari lalu.

"Pelakon itu bersama suami adalah suspek dalam satu kes yang disiasat berkenaan urusan penjualan tanah kurniaan Negeri Selangor yang tidak wujud membabitkan kerugian RM1.5 juta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas beliau, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dan beberapa tindakan awal sudah diambil memandangkan suspek kini dipercayai tidak berada di Semenanjung.

"Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati kedua-dua suspek berada di Sarawak. Mereka sudah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan senarai pemantauan khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang usahawan produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang pelakon wanita bersama suaminya membabitkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Pendedahan itu dibuat menerusi hantaran di aplikasi Threads, mendakwa aktres yang sering menghiasi drama di kaca TV kini sedang 'bersembunyi' selepas didakwa menipu wang mangsa.

Menurut mangsa yang menggunakan nama akaun Threads, kakbeyna_official, dia kerugian sebanyak RM300,000, namun mendakwa terdapat mangsa lain yang mengalami kerugian jauh lebih besar sehingga mencecah jutaan ringgit.

Ekoran pendedahan itu, rata-rata netizen mula 'memetik' beberapa nama pelakon wanita yang sudah lama menyepi daripada industri seni.

Difahamkan, beberapa laporan polis sudah dibuat oleh mangsa dan wanita itu turut memuat naik gambar tangkap layar kiriman mesej dari mangsa lain dan tertera MyKad pelakon itu dan lelaki yang didakwa sebagai suaminya. 

 

Sumber: BERITA HARIAN

Must-Watch Video

Advertisement