Skip to main content

Berita

Mara Jadikan Dua Anak Amirul Hafiz Sebagai Anak Angkat - “Bantuan Elaun Bulanan Sebanyak…”

ASTROGEMPAK Mara

Sekilas

  • Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil dua anak arwah Amirul Hafiz Omar sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran Mara untuk memastikan pendidikan mereka terbela.
  • Bantuan elaun bulanan RM120 untuk sekolah rendah dan RM150 untuk sekolah menengah akan disalurkan bersama pemantauan berterusan sehingga mereka tamat persekolahan.
  • Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyeru agar kedua-dua kanak-kanak terus kuat dan tabah serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas jalan raya di Klang.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil dua kanak-kanak yang kehilangan bapa dalam satu nahas jalan raya menyayat hati di Klang, Selangor baru-baru ini sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

 

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan di laman Facebook malam ini berkata, dua kanak-kanak itu adalah Muhammad Aqif Amsyar, 9, dan Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, iaitu anak kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33.

 

Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebagai rasa tanggungjawab dan keprihatinan selain bukan sekadar bantuan sementara tetapi satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela.

 

"Bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah, disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan,” katanya. 

 

Beliau turut berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Faisalludin Mohamat Yusuff yang mewakilinya pagi tadi bagi ziarah dan menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga mangsa.

 

Asyraf Wajdi juga menitipkan kata-kata semangat untuk Muhammad Aqif Amsyar dan Muhammad Afif Izz Rayqal untuk terus kuat dan tabah serta supaya belajar bersungguh-sungguh.

 

"Insya-ALLAH, Mara akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan yang lebih baik. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas arwah dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

 

Pada masa sama, beliau berkata, tragedi itu bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa tetapi meninggalkan luka yang amat mendalam kepada seluruh keluarga.

 

Asyraf Wajdi berkata, beliau sempat membuat panggilan video bersama ibu mangsa, Faridah Ahmad, 56, yang turut dimuat naik di laman Facebook ketika balu mangsa Nor Nadia Abdul Majid, 32, keluar untuk menyelesaikan urusan Allahyarham. 

 

"Dalam nada penuh sebak, beliau berkongsi bahawa arwah adalah seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga. 

 

"Kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang insan tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil,” katanya.

 

Seorang lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di Klang, Selangor pada Ahad lepas direman empat hari.

 

Sumber - Bernama Menerusi Sinar Harian

 

Anda mungkin berminat dengan

My Ballerine Jenny Comfy Sandals

My Ballerine Jenny Comfy Sandals

Corolla Soft New Shoes

Corolla Soft New Shoes

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

HABIB Songket Collection

HABIB Songket Collection

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

Must-Watch Video

Advertisement