Sekilas
- Hafiz Suip menafikan dakwaan bahawa dia cepat move on selepas berkahwin semula dengan Fiona dan menjelaskan masalah rumah tangganya sudah lama berlaku tetapi dia memilih untuk berdiam diri.
- Hafiz menekankan pentingnya sistem sokongan dalam rumah tangga dan mengambil pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk menjadi lebih baik.
- Hafiz lega kerana anak-anak mereka dapat menerima kehadiran pasangan baru dan hubungan anak-anak mereka berjalan dengan baik sejak pertemuan pertama.
Penyanyi, Hafiz Suip menafikan dakwaan dirinya yang terlalu cepat move on daripada perkahwinan terdahulu selepas menjadikan Fiona sebagai teman hidupnya yang baharu.
Menurut Hafiz, kemelut rumah tangganya yang lalu sebenarnya telah lama terjadi namun dia yang memilih untuk berdiam diri.
"Sebenarnya ia bukan isu saya cepat move on. Masalah rumah tangga sudah lama berlaku cuma saya tidak bercerita.
"Saya yang hadap semua ini. Bila orang tanya saya diam sahaja. Jadi, tak timbullah isu saya cepat move on atau tidak," katanya.
Pelantun lagu Awan Nano itu turut berkata bahawa pengalaman hidup yang paling bernilai buat dirinya adalah memiliki pasangan yang sentiasa menyokong antara satu sama lain.
"Paling penting saya belajar satu benda dalam kehidupan terutamanya rumah tangga perlu ada sistem sokongan daripada pasangan.
"Apa yang sudah berlaku biarlah berlalu tetapi saya ambil ia sebagai pengalaman terbaik. Saya ambil pengajaran untuk jadi yang lebih baik," kongsinya.
Dalam masa sama, Hafiz turut menarik nafas lega apabila kedua-dua anak mereka dapat menerima kehadiran orang baharu dalam keluarga, sekali gus menghilangkan rasa bimbangnya yang dipendam selama ini.
"Perkara yang paling saya takut adalah hendak perkenalkan anak-anak kepada isteri baharu. Tetapi Subhannallah. Ia suatu keajaiban. Hari pertama jumpa, mereka terus rapat macam satu geng siap hendak tidur sama-sama. Hilang segala kerisauan saya.
"Malah kali pertama saya bawa jumpa anak saya dengan anak-anak Fiona pun mereka macam dah lama kenal lama. Masa kami pulang, anak saya tercari-cari adik-beradik tirinya," ujarnya.
Pada 13 Februari lalu, Hafiz kembali sah bergelar suami kepada Fiona dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di sebuah dewan di Petrajaya Kuching.
Sekadar rekod, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jasreel pada 14 Mei 2016 dan memiliki dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyahd Zafri, 9, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5 tahun.
Manakala, Fiona turut pernah berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Cina dan dikurniakan tiga orang cahaya mata sebelum berpisah dengan jejaka tersebut lima tahun lepas.