Skip to main content

Berita Tempatan

"Masjid Ini Lambang Sinergi Komuniti" - Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai Rai 200 Asnaf, Erat Ukhuwah Ramadan

Astro Gempak mukhlisin

Sekilas

  • Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana 1447H/2026M yang dihadiri lebih 600 tetamu dari agensi kerajaan, korporat, dan komuniti setempat.
  • Majlis ini menjadi platform memperkukuhkan ukhuwah serta menyampaikan sumbangan kepada 200 asnaf, anak yatim, pelajar tahfiz, dan artis veteran yang memerlukan.
  • Program turut dimeriahkan dengan bacaan al-Quran, persembahan nasyid, dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta syarikat korporat sebagai rakan strategik.

Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana 1447H/2026M yang menghimpunkan lebih 600 tetamu terdiri daripada wakil agensi kerajaan, rakan strategik korporat serta masyarakat setempat.

Majlis yang berlangsung di Dewan Al-Mukhlisin, Alam Damai itu dipengerusikan oleh Pengerusi Masjid Al-Mukhlisin, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim, yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan kepada para tetamu yang hadir.

Menurut beliau, penganjuran program tahunan tersebut bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan antara pihak masjid, agensi kerajaan, sektor korporat serta komuniti setempat.

“Selain menjadi platform merapatkan ukhuwah, majlis ini turut menzahirkan keprihatinan sosial apabila pihak masjid bersama sebahagian rakan strategik menyampaikan sumbangan kepada 200 orang asnaf serta beberapa artis veteran tempatan yang sedang berhadapan kesukaran hidup.

“Secara keseluruhannya, Majlis Berbuka Puasa Perdana ini bukan sekadar acara berbuka puasa, bahkan menjadi lambang sinergi, penghargaan dan tanggungjawab sosial antara masjid, agensi kerajaan, sektor korporat serta masyarakat setempat,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 200 golongan asnaf menerima sumbangan selain turut diraikan anak yatim serta pelajar tahfiz yang menjadi antara penerima bantuan.

Selain bantuan kepada golongan asnaf, sumbangan turut disampaikan kepada beberapa surau dan sekolah di bawah kariah Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai sebagai usaha membantu komuniti setempat.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian program termasuk bacaan alunan al-Quran oleh Ustaz Husaini Mahmur serta persembahan nasyid oleh kumpulan Munif Hijjaz sebelum para tetamu berbuka puasa bersama.

Program itu juga menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Beberapa syarikat korporat turut tampil sebagai rakan strategik dalam menjayakan program kebajikan tersebut termasuk Bank Rakyat Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Juara Travel Sdn Bhd, CA Facilities Integrated Sdn Bhd dan MTD Capital Sdn Bhd.

Menurut pihak penganjur, sambutan yang memberangsangkan terhadap majlis tersebut menunjukkan sokongan padu masyarakat terhadap peranan masjid sebagai pusat ibadah dan kebajikan yang mampu menyatukan komuniti.

"Saya berharap untuk melihat Masjid Al-Mukhlisin menjadi contoh yang baik kepada masjid-masjid lain di kawasan Wilayah Persekutuan ini bagi mengimarahkan lagi peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, namun menjadi medan ilmu dan jalinan ukhuwah yang lebih baik.

“Pentadbiran masjid adalah pihak yang diberi amanah oleh kerajaan dan juga anak kariah untuk mentadbir dan menguruskan serta membuat perancangan bagi memaju dan memakmurkan masjid sehingga menjadikannya sebagai pusat kegemilangan umat,” ujarnya.


Anda mungkin berminat dengan

LAVEN Gradient Rayon Cotton Scarf Wide Soft Brimmed Double Stitch Modal Cotton Scarf Muslim Women Shawl

LAVEN Gradient Rayon Cotton Scarf Wide Soft Brimmed Double Stitch Modal Cotton Scarf Muslim Women Shawl

ZOE ARISAH Qasine Chiffon Bawal 45

ZOE ARISAH Qasine Chiffon Bawal 45

BOKITTA MIDNIGHT NAVY WITH CRYSTALS Plain Crinkled Chiffon

BOKITTA MIDNIGHT NAVY WITH CRYSTALS Plain Crinkled Chiffon

Naelofar Iznik Sejadah

Naelofar Iznik Sejadah

Jifang Hot Sale Retro Vintage Tie-dye Colorful Painting Cotton Polyester Shawl Long Pashmina Shawl Head Scarf Shawls Muslim Hijabs Tudung FX01

Jifang Hot Sale Retro Vintage Tie-dye Colorful Painting Cotton Polyester Shawl Long Pashmina Shawl Head Scarf Shawls Muslim Hijabs Tudung FX01

INSTANT SHAWL SULAM CHIFFON TIEBACK

INSTANT SHAWL SULAM CHIFFON TIEBACK

Must-Watch Video

Advertisement