Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Masuk Je GGV2, Saya Culture Shock!" - Fitri Haris

Kamaruddin Razal
13/05/2018 00:36 MYT
Penyanyi Fitri Haris mengakui dirinya mengalami kejutan budaya selepas menyertai program realiti Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2).

"Sebelum ini, saya hanya dikenali dalam kalangan peminat irama nasyid sahaja. Selepas berpisah dengan UNIC pada 2018, kerjaya seni saya perlahankan kerana menyambung pengajian.

"Selepas menyertai GGV2, saya akui saya 'culture shock'. Lebih ramai orang mengenali saya dan datang dari pelbagai golongan.

"Jika dahulu saya lebih senang membahasakan diri serta memanggil orang dengan panggilan saya, awak, ana dan anta, kini saya sudah belajar cara panggilan aku, kau serta bro.

"Perkara itu membuatkan saya rasa lebih dekat, akrab dan cepat mesra dengan orang lain. Saya juga menimba banyak pengalaman sepanjang GGV2," kata Fitri.

Bekas penyanyi kumpulan UNIC ini berjaya merangkul gelaran juara GGV2 di konsert akhir yang berlangsung malam tadi.

BACA: Beza 0.27% Markah, Fitri Haris Juara Gema Gegar Vaganza 2

Tambah pelantun lagu Suara Azan ini, dia menganggap perjalannya dalam GGV2 sebagai salah satu peluang untuk bertapak semula dalam bidang seni.

"Saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin. Saya juga mahu mencuba peluang yang datang seperti menjadi seorang pelakon.

"Saya turut meminati bidang pengacaraan dan mahu beraksi sebagai hos. Buat masa ini, saya akan ambil peluang yang ada dan melakukan apa termampu.

"Alhamdulillah, pembelajaran saya dalam bidang kedoktoran (PhD) dalam bidang muzik juga bakal selesai. Saya akan kembali ke University of Nottingham, United Kingdom pada hujung tahun ini," katanya lagi.

Di konsert akhir GGV2, Fitri mengutip 89.27 peratus markah dan membawakan lagu Zinnirah di segmen solo serta lagu Al Nuraa.. Yang 5... Yang 6... di segmen battle.

BACA: Gema Gegar Vaganza 2 - Kedudukan Peserta & Recap Komen Juri Malam Konsert Akhir

Fitri merangkul hadiah berupa wang tunai berjumlah RM100,000 bersama trofi sumbangan Astro, penginapan serta layanan VIP di Dorsett Suite Hotel Kuala Lumpur dan kontrak digital radio bersama aplikasi Raku bernilai RM150,000.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks: Kamaruddin Razal
#GGV2 #Fitri Haris
;