Sekilas
- Muhammad Najib Iqbal Saleh, 21, dijatuhi hukuman penjara 11 bulan selepas mengaku bersalah mencabul jiran wanita berusia 41 tahun di rumahnya pada 16 September lalu.
- Tertuduh didakwa memasuki rumah mangsa melalui pintu yang tidak berkunci dan mencabul mangsa yang sedang tidur sehingga berlaku pergelutan dan mangsa cedera kecil.
- Selain itu, Muhammad Najib turut dihukum penjara enam bulan kerana memiliki dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.
Seorang tukang mesin rumput, Muhammad Najib Iqbal Saleh, 21, dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan termasuk mencabul jiran yang sedang tidur minggu lalu.
Tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas dua kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman. Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Najib.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 41 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah rumah kira-kira pukul 11.30 malam pada 16 September lalu.
Mengikut fakta kes, mangsa sedang tidur di dalam bilik sebelum tersedar apabila mendapati tertuduh berada di atas katilnya.
Tertuduh kemudian mencabul mangsa sebelum wanita berkenaan menjerit dan berlaku pergelutan apabila dia bertindak agresif serta enggan melepaskannya.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami luka kecil di bahagian bawah bibir sebelah kanan.
Mangsa mendakwa tertuduh masuk ke rumah berkenaan melalui pintu yang tidak berkunci dan hanya disendal menggunakan tukul besi bagi membolehkan anaknya pulang lewat memasuki rumah.
Tertuduh kemudiannya ditangkap selepas mangsa membuat laporan polis.
Pertuduhan mencabul dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Muhammad Najib turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberikan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine. Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah seksyen sama.
Bagi kesalahan dadah pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan yang bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman bagi kesalahan mencabul. Selain itu, tertuduh turut dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.
Sumber: Sinar Harian