Sekilas
- Rakaman CCTV menunjukkan detik pemergian Allahyarham Abdul Malik Zakaria ketika menunaikan solat Isyak di surau JPJ Taman Daya JB menjadi tular di TikTok.
- Allahyarham dikenali sebagai seorang pengawal keselamatan yang sangat mencintai rumah Allah dan sentiasa membantu orang tanpa mengharapkan balasan.
- Netizen meluahkan rasa sebak dan mengucapkan takziah serta doa agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Di TikTok, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan detik pemergian seorang lelaki sewaktu menunaikan solat Isyak yang telah mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian dibuat seorang wanita yang dipercayai anak saudara kepada arwah, lelaki yang dikenali sebagai Allahyarham Abdul Malik Zakaria itu difahamkan bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Wanita berkenaan dilihat meluahkan rasa syukur kerana menyifatkan pemergian bapa saudaranya itu sebagai satu kematian yang indah dan pastinya dicemburui ramai.
“Keluar bekerja mencari rezeki halal buat keluarga, dan akhirnya kembali kepada Pencipta dalam keadaan sangat dicemburui ramai. Arwah rebah ketika berada dalam tahiyat akhir solat isyak, saat hati dan jasad sedang menghadap Allah SWT.
“Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanannya di dunia. Seorang insan yang menghabiskan harinya mencari nafkah untuk keluarga, dan mengakhiri kehidupannya dalam ibadah kepada Tuhan di surau JPJ Taman Daya JB,” kongsinya.
Sementara itu, anak kepada Allahyarham tampil meninggalkan komen dengan berkongsi mengenai sisi peribadi bapanya yang disifatkan sebagai seorang yang sangat mencintai rumah Allah.
“Terima kasih semua kerana dah doakan untuk arwah ayah saya, semoga arwah ayah saya Abdul Malik Bin Zakaria ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa.
“Antara perkara paling saya ingat tentang ayah ialah kecintaannya kepada rumah Allah. Selagi diberi kesihatan, dia akan cuba hadir ke masjid atau surau terdekat dan membantu apa yang termampu.
“Suka membantu orang tanpa mengharapkan balasan, menghormati ibu bapa, dan sentiasa mengutamakan keluarga. Semoga itu menjadi antara amalan yang memberatkan timbangan kebaikannya di akhirat,” katanya di ruangan komen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah.
Warganet juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Sumber: TikTok