Ringkasan AI
- Dr. Fie, isteri Nubhan, kini kelihatan lebih ceria di media sosial selepas menghadapi cabaran rumah tangga.
- Dia memilih untuk kuat demi anak-anak dan memastikan mereka melihat dirinya sebagai ibu yang tabah.
- Dr. Fie bersyukur atas sokongan orang baik dan rezeki yang bertambah selepas insiden rumah tangga tular.
- Anak-anak kini berada di bawah jagaan Dr. Fie sementara menunggu keputusan mahkamah hadanah pada 2 Disember nanti.
- Nubhan telah memfailkan lafaz cerai dan tuntutan hadanah penuh terhadap tiga anak mereka di Mahkamah Syariah.
Isteri kepada Nubhan iaitu Dr. Fie kini tampil semakin ceria di media sosial sejak kebelakangan ini selepas melalui detik sukar dalam rumah tangga.
Dr. Fie atau nama sebenar Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek akui dia memilih untuk kelihatan kuat demi anak-anaknya yang menjadi sumber kekuatan utama.
“Saya mesti nak kena nampak bahagia, nampak tenang sebab saya ada anak-anak. Saya nak anak-anak saya tengok saya bukan seorang ibu yang lemah," katanya kepada Gempak.
Fie berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier di IOI City Mall Putrajaya pada Sabtu.
Dr. Fie turut meluahkan rasa syukur kerana dia bertemu ramai individu baik yang membantunya untuk kembali bangkit.
Malah, selepas insiden rumah tangga yang tular rezekinya juga semakin bertambah.
“Alhamdulillah, sekarang banyak dapat gang-gang usrah yang baik. Allah temukan dengan orang-orang yang baik untuk saya move on dan perbaiki diri.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dimurahkan rezeki. Ini rezeki yang tak disangka. Allah sayang saya. Dia uji sikit supaya saya jadi lebih matang," ujarnya.
Ditanya mengenai penjagaan anak-anak, Dr. Fie menjelaskan mereka kini banyak berada di bawah jagaannya sementara menunggu proses mahkamah berkaitan hak hadanah penuh yang difailkan suaminya.
Dr. Fie turut memastikan hubungan anak-anak dengan ayah tidak terputus.
“Buat masa sekarang dalam interim. Dalam surat memang ada nama saya. Saya tak halang dia menjaga mereka. Nubhan seorang ayah yang baik. Anak-anak berhak nikmati hidup mereka dengan siapa pun. Saya tak akan pisahkan mereka dengan Nubhan dan keluarga.
“Selalunya saya akan kata abah sibuk dan ada show. Saya tunjuk juga abah dia dekat TV supaya mereka faham," jelasnya.
Bagaimanapun, keputusan penuh mengenai hadanah hanya akan diketahui selepas prosiding mahkamah pada 26 November nanti.
Sekadar info, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad telah memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap Dr. Afifah di Mahkamah Syariah Sepang.
Nubhan kemudiannya memfailkan tuntutan hadanah penuh terhadap tiga orang anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurnikan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.