Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

MLM2018: "Sampai Minggu Kelapan Rasanya Sudah Menjadi Pencapaian Terbaik Buat Kami" - Chilok

Elrafaei Sapi
24/12/2018 12:36 MYT
Saingan minggu kelapan akhirnya menyaksikan kumpulan Chilok terpaksa pulang lebih awal daripada pentas Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018).

Salah seorang peserta kumpulan tersebut iaitu Mohd Azwan Sabri atau Chiwan menyatakan mereka sudah cuba membawa perubahan pada lawak yang dipersembahkan tapi gagal.

"Apa yang kami cuba buat adalah membawa pembaharuan. Tak pernah orang buat watak haiwan tapi respons agak tak menjadi," katanya kepada Astro Gempak.



Ujarnya, ada kemungkinan subjek yang diberikan pada kumpulan ini untuk saingan tema matapelajaran memberikan cabaran yang besar.

"Subjek salah mungkin juga sebab kami dapat yang susah iaitu sains ketika undian, Sebelum ini dah ada lawak macam bermain robot tapi kami cuba bawa kelainan," katanya.

Rakannya, Mohd Kamal Shah Saharuddin atau panggilan Kamal Sumbu bersetuju dengan komen Chiwan.

"Macam Chiwan cakap tadi, sains permainan dia yang kerap orang buat adalah robot tapi kami cuba bawakan kelainan.

"Agak susah tapi lagi satu kami pendatang baru. Sampai minggu kelapan rasanya sudah menjadi pencapaian terbaik buat kami dan secara terus terang peserta yang tinggal memang kuat-kuat," katanya.

Meskipun tiada rezeki untuk bersaing di pentas MLM 2018 selepas ini, mereka tidak putus asa untuk teruskan perjuangan seni sebagai pelawak.

"Kami boleh rasa akan tersingkir bila respons penonton. Pada minggu lepas masa cabaran loghat, kami beri persembahan yang begitu tinggi dan penonton suka tapi bila minggu ni 'drop', orang nampak terus," katanya.



Bagi seorang lagi rakan mereka, Mohd Ilham Rusdy (Achok Chilok) berpandangan watak haiwan yang dibawanya di atas pentas tiada masalah apatah lagi dia tidak banyak bermain dengan dialog.

"Motif dia dari tikus tak boleh bercakap, boleh bercakap. Mungkin dialog agak lambat.

"Kami tak nak 'repeat' macam minggu lepas, kami buat yang baru. Insha Allah ada yang boleh terima, ada yang tak boleh terima," katanya.

Tambah Chiwan, mereka akan terus membuat persembahan pentas selepas ini.

"Jika diberi peluang, kami akan teruskan. Kami takkan sia-siakan peluang yang diberikan.

"Tujuan kami masuk ke sini supaya mereka nampak kami dan beri peluang pada kami untuk berkarya," katanya.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak
#MLM 2018 #Chilok
;