Sekilas
- Zara Zya menjelaskan perkongsiannya di Threads mengenai gangguan makhluk halus bukan untuk mencari perhatian, tetapi sekadar meluahkan perasaan.
- Gangguan tersebut memberi kesan kepada emosi, mental, dan rutin harian Zara walaupun dia sudah mendapatkan rawatan.
- Zara adalah satu-satunya dalam keluarga yang mengalami gangguan itu dan mengakui ia mungkin mempengaruhi kehidupannya dalam mencari pasangan hidup.
Pelakon, Zara Zya menjelaskan bahawa perkongsiannya di Threads mengenai gangguan makhluk halus yang dialami bukan bertujuan meraih perhatian sebaliknya hanya mahu meluahkan perasaan sahaja.
Aktres drama Love You Mr Arrogant itu berkata, tidak semua orang memahami pengalaman tersebut, terutama apabila ia melibatkan perkara yang dianggap sensitif.
"Perkongsian itu tidak bermaksud apa-apa, ia tempat untuk meluah dan menarik untuk dikongsikan. Saya rasa meluat sebab dia ada di situ.
"Nak cerita lebih pun ia sensitif sebab sesetengah orang ingatkan saya nak perhatian sahaja. Orang yang pernah alami je faham. Dia tau kita tahu.
"Dulu lagi teruk, saya nampak jelas. Sekarang okay sikit. Ketika itu dia memang sengaja teman saya memasak. Waktu saya sedang potong bawang, mata saya jadi pedih sangat sampai saya tak Nampak," katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Zara mengakui keadaannya masih belum pulih sepenuhnya meskipun sudah berusaha mendapatkan rawatan.
Katanya, gangguan itu turut memberi kesan terhadap emosi, mental dan rutin hariannya.
"Saya Ada pergi berubat tetapi mungkin Allah belum izinkan saya pulih sepenuhnya. Jangan seronok sangat sebab dia ada bila kita terlalu, sedih atau marah atau berlebihan.
"Ia juga sangat menggangu kehidupan seharian saya dari segi mental, fizikal dan pemikiran," ujarnya.
Sementara itu, Zara turut akui bahawa hanya dia seorang sahaja dalam keluarga yang mengalami situasi tersebut dan tidak menolak kemungkinan gangguan itu turut memberi kesan terhadap kehidupannya dalam mencari pasangan.
"Saya harap benda ini berkurang dan saya semakin sihat. Memang saya seorang sahaja dalam keluarga yang kena. Tak berani nak cakap mendalam pasal ni.
"Mungkin juga gangguan ini menyebabkan saya sukar untuk cari pasangan hidup tetapi ia semua dengan izin Allah juga. Ini ujian Allah untuk saya sentiasa mengingatinya," tambahnya.