Sekilas
- Nabila Huda memuji bakat besar barisan pelakon muda drama KUDRAT 1968: High Council, terutamanya Zarif Ghazzi, Chech Harith dan Umar Shakur.
- Beliau berharap semangat dan sikap rajin pelakon-pelakon ini dapat dikekalkan walaupun semakin dikenali dan popular.
- Nabila juga menegaskan pelakon muda dalam projek ini sangat komited dan berbeza daripada tanggapan negatif di media sosial.
Pelakon, Nabila Huda memuji barisan pelakon muda drama KUDRAT 1968: High Council yang disifatkannya mempunyai bakat besar.
Menurut Nabila, dia berharap semangat dan sikap rajin yang ditunjukkan pelakon-pelakon berkenaan dapat dikekalkan terutama ketika mereka semakin dikenali dan mengecapi populariti.
Katanya, antara watak yang paling menarik perhatiannya ialah lakonan Zarif Ghazzi, Chech Harith dan Umar Shakur.
Nabila turut menyifatkan Zarif sebagai seorang yang rajin dan mempunyai potensi besar untuk menjadi bintang.
“Pada saya, pelakon Kudrat bukan sahaja pelakon utama tetapi mereka memang hebat sangat. Casting mereka sangat bagus. Budak-budak lelaki ini sangat berbakat.
“Saya harap pada akan datang, mereka tidak akan berubah. Setiap karakter itu ada potensi yang besar menjadi pelapis masa datang. Saya pun kagum. Kegemaran saya pastilah Zarif Ghazzi. Dia memang potensi bintang. Saya suka kerja dengan dia. Dia seorang yang semangat. Saya lihat dia tulis dan buat kerja. Saya walaupun ketawa tetapi saya jenis memerhati.
“Paling saya jatuh cinta, karakter Mazli lakonan Chech Harith. I love you so much. Saya memang suka gila karakter awak. Awak memang sangat stunning dan power gila. Awak upcoming bintang. Tolong jangan berubah. Selain itu, saya suka karakter adik Abbas,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Nabila berkata keperibadian pelakon muda yang ditemuinya sepanjang menjayakan projek tersebut tidak seperti tanggapan yang sering diperkatakan di media sosial.
“Saya selalu dengar mereka kata pelakon muda selalu bermain telefon lah. Alhamdulillah saya jumpa semua yang komited. Dekat ipad, selalu tulis nota. Ia beri contoh yang bagus kepada anak muda yang lain. Semangat itu kena ada sampai tua,” kongsinya.
Sekadar info, KUDRAT 1968 merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council.
Naskah arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.
KUDRAT 1968: High Council sudah mula menemui peminat pada 11 September.