Sekilas
- Pelakon Shima Anuar tampil bersuara selepas namanya dikaitkan dengan masalah rumah tangga abang kandungnya dan berjanji akan mengambil tindakan undang-undang.
- Shima menegaskan dia sentiasa menjaga nama baik diri dan suami serta tidak suka mencampuri urusan orang lain, tetapi kesabarannya ada batasnya.
- Bekas isteri abang Shima, Yusnani Yusof, mendakwa anaknya menghadapi isu kebajikan dan Shima dikaitkan kerana didakwa menyokong isteri baharu abangnya.
Selepas namanya dikaitkan dengan masalah rumah tangga abang kandungnya, pelakon Shima Anuar akhirnya tampil bersuara dan bakal mengambil tindakan undang-undang.
Menerusi perkongsian di Threads, Shima berkata dia sentiasa menjaga nama baik diri dan suami serta tidak suka mencampuri urusan orang lain.
Namun, menurutnya, kesabaran manusia juga ada batasnya.
“Selama ini aku jaga nama aku, jaga nama suami. Pernah nampak aku meroyan tak tentu pasal? Sibuk ambil tahu hal orang? Aku memang jenis tak suka bising-bising tetapi tahap kesabaran manusia ada batasnya.
“Satu sahaja nak pesan, hati-hati bila berkata-kata terutama kalau tak tahu pangkal cerita. Ambil iktibar dari kes-kes sebelum ini sebab nanti hujung-hujung…. Hati-hati ya,” tulisnya.
Dalam pada itu, Shima turut menegaskan bahawa dia tidak akan berdiam diri selepas namanya dikaitkan dengan pelbagai tuduhan.
“Kebenaran akan terungkai tak lama lagi. Benda dah post, viral yang kau nak pun kau dah dapat. Nama aku dah busuk, dituduh kejam dan jahat. Tindakan undang-undang dalam perjalanan.
“Aku tak main-main kali ini. Tak kuasa. Aku tidak akan biarkan orang baling taik dekat muka aku,” ujarnya.
Terdahulu, bekas isteri abang Shima, Yusnani Yusof meluahkan rasa terkilan berhubung dakwaan membabitkan anaknya, Airit.
Yusnani mendakwa Airit berdepan isu kebajikan ketika bersama bapanya dan isteri baharu, Adila Shah.
Nama Shima kemudiannya turut dikaitkan selepas didakwa memberikan sokongan terhadap Adila.