Pengarah filem dan penyanyi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sini bulan lalu.
Namewee yang memuat naik status di Facebook berkata, dia baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru.
Advertisement
Menurutnya, dia hadir ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan polis dan memberi keterangan.
"Sekarang saya sudah sampai di ibu pejabat polis seterusnya, saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan, supaya masyarakat dan keluarga mangsa mendapat penjelasan yang sewajarnya.
"Saya tidak akan melarikan diri. Sebelum ini, dalam tujuh kali saya dipanggil oleh pihak berkuasa, saya sendiri yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. Saya tidak pernah lari," katanya.
Media semalam melaporkan siasatan menyeluruh berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, berusia 31 tahun dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan menahan pengarah dan penyanyi Namewee, 42.
Ia berikutan penyanyi itu individu terakhir yang berada bersama mangsa ketika kejadian.
Pempengaruh itu ditemui mati dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini, pada 22 Oktober lalu.
Sumber: Berita Harian