Sekilas
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang melancarkan Life-Saving Appliance (LiSA) untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan kemudahan bantuan awal bagi mencegah kematian akibat lemas di kawasan rekreasi air.
- LiSA dilengkapi pelampung, jaket keselamatan, tali dan peti pertolongan cemas yang membolehkan orang awam bertindak sebagai penyelamat pertama tanpa risiko terjun ke dalam air, mengikut prinsip 'Reach or Throw, Don't Go'.
- Inisiatif ini turut disokong dengan demonstrasi penyelamatan, pelantikan penyelia LiSA, serta kerjasama pelbagai agensi dan komuniti untuk memastikan kemudahan sentiasa berfungsi dan meningkatkan keselamatan awam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang melancarkan Life-Saving Appliance (LiSA) bersempena World Drowning Prevention Day 2026 (Hari Pencegahan Lemas Sedunia) yang disambut pada 25 Julai setiap tahun.
Pelancaran LiSA disempurnakan Pengarah JBPM Negeri Pahang, Dato' Mohd Razam Taja Rahim di Pusat Rekreasi Sungai Rengat, Ulu Cheka di sini sebagai usaha memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai bahaya lemas serta kepentingan tindakan awal yang betul ketika berdepan kecemasan di kawasan rekreasi air.
Program itu dianjurkan Cawangan Program Kesedaran Keselamatan Awam, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Negeri Pahang dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut.
Menurut Razam, pelancaran LiSA merupakan antara inisiatif proaktif JBPM bagi menyediakan kemudahan bantuan awal kepada orang awam sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
LiSA dilengkapi dengan pelampung, jaket keselamatan, tali serta peti pertolongan cemas bagi membolehkan orang awam bertindak sebagai first responder membantu mangsa lemas dari tebing sungai tanpa perlu mempertaruhkan nyawa dengan terjun ke dalam air.

Pendekatan itu selaras dengan prinsip keselamatan antarabangsa Reach or Throw, Don't Go atau 'Capai atau Baling, Jangan Terjun'.
"LiSA diwujudkan bagi memperkasakan masyarakat sebagai barisan hadapan ketika berlaku kecemasan di kawasan air.
"Apa yang paling penting ialah orang awam tidak mengambil risiko dengan terjun ke dalam air kerana tindakan itu boleh mengakibatkan tragedi lemas berganda.
"Gunakan kemudahan LiSA mengikut prinsip 'Reach or Throw, Don't Go' bagi meningkatkan peluang menyelamatkan mangsa tanpa membahayakan diri sendiri," katanya.
Setakat ini, LiSA telah dipasang di dua lokasi di Pahang iaitu Pantai Teluk Cempedak dan Sungai Rengat.
Razam berkata, kesedaran masyarakat mengenai penggunaan LiSA perlu terus dipertingkatkan supaya lebih ramai memahami fungsi serta kepentingan kemudahan itu dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat lemas.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan vandalisme atau mencuri peralatan LiSA kerana tindakan tidak bertanggungjawab tersebut boleh menyebabkan kemudahan berkenaan gagal digunakan ketika kecemasan dan berpotensi meragut nyawa.
"Peralatan yang disediakan ini bukan sekadar kemudahan awam, sebaliknya ia boleh menjadi penyelamat nyawa pada saat-saat genting.
"Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga dan memelihara kemudahan LiSA demi keselamatan semua," katanya lagi.
Bagi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat, program itu turut menampilkan demonstrasi penyelamatan menggunakan LiSA oleh anggota Bomba Komuniti bersama orang awam.
Demonstrasi tersebut memperlihatkan cara penggunaan pelampung dan tali mengikut konsep Reach or Throw, Don't Go, sekali gus memberi pendedahan kepada komuniti mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku insiden lemas.
Majlis sama turut menyaksikan penyerahan sijil pelantikan kepada Penyelia LiSA Sungai Rengat sebagai pengiktirafan kepada wakil komuniti yang akan membantu memantau, menyelenggara serta memastikan kemudahan LiSA sentiasa berada dalam keadaan baik untuk digunakan ketika kecemasan.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, turut diadakan pelepasan benih ikan Lampam Sungai, Kelah dan Tereboi hasil kerjasama Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jabatan Perikanan Malaysia sebagai usaha memulihara ekosistem sungai dan menyokong kelestarian alam sekitar.
Mengulas mengenai aktiviti itu, Razam berkata usaha menjaga keselamatan masyarakat perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab memelihara alam sekitar.
"Keselamatan manusia dan kelestarian alam saling berkait rapat.
"Sungai yang bersih serta ekosistem yang terpelihara bukan sahaja menjamin kelangsungan hidupan akuatik, malah mewujudkan persekitaran rekreasi yang lebih selamat kepada masyarakat.
"Pelepasan benih ikan ini menjadi simbol komitmen JBPM Pahang dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata selain LiSA, JBPM turut menyediakan REWARD (Recycle Light Water Rescue Equipment) sebagai kemudahan bantuan menyelamat di kawasan air.
"Selain LiSA, REWARD juga merupakan peralatan bantuan menyelamat lain yang telah dipasang di Air Terjun Sungai Pandan, Air Terjun Berkelah dan Air Terjun Lata Hammer," katanya.
Program berkenaan mendapat sokongan pelbagai agensi dan komuniti setempat termasuk Polis Diraja Malaysia (Balai Polis Kampung Batu Balai), RELA Jerantut, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Penghulu Mukim, Tok Empat Kampung Koi, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Damak serta Bomba Komuniti Kampung Koi.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (PERISMA), Datin Suraya Jusoh, selain penduduk sekitar Sungai Rengat dan pengunjung yang bersama-sama menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan kes lemas.
Untuk rekod, LiSA mula diperkenalkan secara meluas oleh JBPM sejak 2022 di beberapa negeri termasuk Perak (Teluk Senangin), Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kecemasan di kawasan rekreasi air.

Pelaksanaan inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan JBPM dalam memperkasakan budaya keselamatan air, meningkatkan kesedaran awam serta membentuk komuniti yang lebih bersedia membantu menyelamatkan nyawa secara selamat sebelum ketibaan pasukan penyelamat. Selaras dengan semangat World Drowning Prevention Day, JBPM berharap inisiatif tersebut dapat terus menyemarakkan budaya pencegahan dan mengurangkan kadar kematian akibat lemas di negara ini.