Selebriti serba boleh, Roslan Shah, tidak menyangka program Night Walk yang diilhamkan oleh pempengaruh dan usahawan Mangobossku, kini menjadi fenomena hingga tular ke Malaysia.
Menurut Roslan, idea asal dari Mangobossku dan sahabatnya, Ali hanya sekadar suka-suka tanpa sebarang perancangan besar.
Advertisement
“Bila idea datang, Mangobossku usulkan untuk saya muncul dalam program Night Walk itu. Saya terkejut ia jadi fenomena, saya dan Mangobossku buat suka-suka sahaja. Kami bukan paranormal, tapi kami hanya berjalan di malam hari di sekitar Singapura.
“Kami bukan nak mencari hantu, apa yang muncul memang satu ‘bonus’. Ramai yang mula menonton program itu di saluran YouTube MBK Film Studio. Mungkin orang ramai terhibur dengan gelagat kelakar seram saya dan tetamu lain,” katanya.
Program tersebut semakin mendapat perhatian apabila turut menampilkan tetamu popular termasuk Nur Sajat, Ustaz Ebit Lew, Datuk Seri Vida, Datuk Adi Putra dan Azlee Senario.
Roslan mengakui tidak menyangka kandungan spontan itu mampu mencuri perhatian khalayak hingga berjaya menarik ratusan ribu tontonan di saluran YouTube MBK Film Studio.
“Sejujurnya, saya tak sangka ia jadi viral. Alhamdulillah sampai ke Malaysia dan Indonesia. Kemuncaknya apabila kami buat night walk dengan penyampai radio Era, Nabil, Azad dan Radin. Beratus ribu orang menonton ketika itu di saluran YouTube MBK Film Studio,” katanya lagi.
Fenomena tersebut turut membuka lebih banyak pintu rezeki apabila Roslan menerima pelbagai tawaran persembahan dan lakonan termasuk peluang bekerjasama dengan artis Malaysia serta Indonesia.
“Insya-Allah, minggu hadapan saya bakal merakamkan single terbaharu berjudul Hantu Hantu Hantu dengan Adi Sixth Sense. Selain itu, saya mendapat banyak tawaran persembahan dan juga tawaran untuk berlakon.
“Ada juga banyak tawaran dari nama-nama besar di Malaysia dan Indonesia yang menyatakan minat mahu bekerjasama. Untuk program Night Walk pula, selepas ini kami akan melakukan program itu bersama nama besar seperti Fattah Amin dan Zizan Razak.
“Syukur rezeki Allah, selepas melalui pelbagai cabaran, mungkin tahun 2025 menjadi tahun saya. Saya tak sangka program ini dapat menaikkan nama saya. Apapun, saya berterima kasih kepada Mangobossku, rakan-rakan dan peminat yang selama ini memberi sokongan,” katanya lagi.