Berita
Ning Baizura Tak Rasa Sertai Duo Star Rendah Martabat Sebagai Artis Senior
Penyanyi Ning Baizura tidak menggangap bahawa penyertaannya menyertai pertandingan Duo Star akan merendahkan kedudukannya sebagai penyanyi senior dalam industri hiburan tempatan.
Ning sebaliknya menjelaskan, penglibatannya dalam program ini akan memberi peluang kepada dirinya untuk memastikan namanya akan terus kekal sebagai penyanyi.
"Sebenarnya tidak salah untuk saya menyertai program seperti ini meskipun telah bergelar sebagai artis senior.
"Program ini merupakan satu platfom untuk saya kembali memeriahkan industri tanahair kerana sekiranya saya tidak mengambil risiko, saya tidak akan tahu apa akan terjadi.
"Secara tidak langsung saya melihat ini merupakan peluang untuk kumpul peminat baharu dengan menggunakan cara berbeza.
"Saya harus melakukan sesuatu perkara yang baru diluar kotak dalam memastikan karier saya terus kekal relevan," katanya kepada Astro Gempak.
Ning berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan program dan peserta Duo Star yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Seramai lapan pasangan bintang duo yang bakal berentap untuk musim pertama program tersebut adalah Syamel & Ernie Zakri, Haiza & Epul Drama Band, Asfan & Aweera, Ronnie Hussein & Sarah Fazny, Awi Rafael & Kaka Azraff, Harris Baba & Ning Baizura, Ila Damiaa & Yasin dan Firman & Ayai.
Duo Star bakal bersiaran bermula 25 Disember depan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada pukul 9 malam.
Mereka akan di adili sepenuhnya oleh juri profesional yang bertanggungjawab untuk menilai persembahan iaitu penyanyi Datuk Hattan, pengarah muzik Datuk Acis dan Adibah Noor.
Manakala Datuk AC Mizal menggalas tanggungjawab sebagai hos Duo Star.
Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 manakala naib juara RM50,000 berserta trofi.
Lebih menarik setiap minggu pasangan duo terbaik akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 tajaan Aurawhite dan baucar Go Shop bernilai RM1,000.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video