Sekilas
- Ramai selebriti seperti Erysha Emyra, Ezzanie Jasny, dan Nabila Razali berkongsi pengalaman mereka pulang beraya ke Kelantan yang memerlukan perjalanan jauh dan kadang-kadang mengambil masa sehingga 26 jam.
- Sesetengah selebriti memilih untuk naik kapal terbang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang lama, manakala yang lain menghargai suasana dan budaya unik Kelantan semasa Aidilfitri.
- Selain cerita perjalanan, pelakon seperti Jay Iskandar dan Aishah Azman turut berkongsi kenangan dan aktiviti menarik yang mereka nantikan semasa pulang ke kampung halaman di Kelantan.
Bila bercakap tentang Aidilfitri, pasti ramai yang sudah merancang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Ada yang pulang ke kampung yang berdekatan dan ada juga yang perlu menempuh perjalanan jauh sehingga mengambil masa berbelas jam.
Antara negeri yang sering menjadi tumpuan anak perantauan setiap kali musim perayaan ialah Kelantan.
Dalam kalangan selebriti yang pulang beraya di negeri itu ialah Erysha Emyra, Ezzanie Jasny, Nabila Razali, Jay Iskandar, Aishah Azman dan Uqasha Senrose.
1) Erysha Emyra
Menurut pelakon Erysha Emyra, ketika kecil dia sangat menikmati perjalanan pulang ke Kelantan. Namun kini, perasaan itu sedikit berubah kerana perjalanan yang terlalu lama.
“Oh dulu masa kecil-kecil saya suka naik kereta. Naik kereta lama-lama memang rasa seronok.
“Tapi sekarang ya Allah… sampai 26 jam semua. Rasa macam tak apalah sakit belakang, mungkin sebab dah tua kot. Pernah juga perjalanan sampai 18 jam, 20 jam tu memang biasalah. Tapi sekarang biasanya keluarga saya akan balik awal.
“Sejak tiga tahun dalam industri ini, saya selalunya balik paling lambat sebab komitmen kerja. Jadi mereka balik dulu, saya pula balik naik kapal terbang,” ujarnya.
2) Ezzanie Jasny
Bagi aktres Ezzanie Jasny, dia kini lebih memilih untuk menaiki kapal terbang ke Kelantan kerana mengakui serik untuk memandu pulang ke negeri itu selepas pernah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga 18 jam.
"Memang kalau balik Kelantan saya tak nak drive. Saya takkan drive kalau balik sana sebab dah pernah kena 18 jam tersekat dalam kesesakan jadi cukuplah. Serik dah.
"Balik nanti akan naik kapal terbang," katanya.
3) Nabila Razali
Sementara itu, penyanyi Nabila Razali pula mengakui dia sangat gemar menyambut Hari Raya di Kelantan kerana suasananya yang lebih meriah.
Malah, dia turut bersyukur kerana berkahwin dengan pasangan yang berasal dari negeri tersebut kerana dapat merasai sendiri pengalaman perjalanan pulang ke kampung yang jauh.
“Di Kelantan lebih meriah, lebih ramai dan semangat raya itu extra… nampak la mood raya. Kalau raya di KL selalunya raya pertama pun dah ada yang pergi mall.
“Saya sebenarnya bersyukur sangat kahwin dengan orang yang kampungnya jauh. Sebab keluarga saya di KL saja, balik raya pun KL saja. Paling jauh kampung mak saya di Melaka.
“Jadi saya tak pernah rasa perjalanan yang jauh. Bila dapat kahwin dengan pasangan dari Kelantan, barulah saya rasa ‘ouh macam ini rupanya orang balik kampung lama’.
“Baru saya tahu perjalanan boleh cecah 24 jam sebab macam satu Malaysia ada di Kelantan,” kongsinya.
4) Jay Iskandar
Aktor, Jay Iskandar berkongsi bahawa antara perkara yang paling digemarinya setiap kali pulang beraya ke Kelantan adalah keunikan bahasanya yang disifatkan penuh kemesraan, meskipun sering dianggap kasar oleh sesetengah pihak.
Menurut Jay, dia berasal dari negeri tersebut dan sudah terbiasa dengan perjalanan jauh setiap kali musim perayaan. Malah, pengalaman pulang ke kampung halaman juga menjadi antara kenangan yang cukup bermakna buat dirinya.
"Saya berasal dari Kelantan. Perjalanan paling lama yang pernah saya tempuhi untuk pulang beraya mencecah 13 jam. Kebiasaannya saya balik dengan kereta, dan sejak sudah ada lesen, kami akan bergilir-gilir memandu.
"Setiap kali raya, saya akan beli ais pada malam raya itu antara momen yang saya paling tunggu. Raya di Kelantan memang seronok, terutama dengan bahasanya. Walaupun loghat Kelantan kedengaran agak kasar, sebenarnya ia penuh mesra. Tambahan pula, saya sendiri fasih, jadi lebih mudah untuk bergaul.
"Kenangan raya paling indah bila ramai ahli keluarga berkumpul lebih-lebih lagi ketika ayah, atuk dan nenek masih ada. Suasana itu memang lain. Sekarang pun masih seronok, tetapi tetap terasa berbeza," ujarnya.
5) Aishah Azman
Gemar bermain pickleball, pelakon Aishah Azman tertanya-tanya sama ada terdapat fasiliti gelanggang pickleball di Kelantan memandangkan dia bakal pulang beraya di negeri tersebut.
"Tahun ini raya Kelantan, sana ada pickleball court tak. Geng Klate kalau ada yang set game raya ni DM saya tau. Kita kasi jadi," tulisnya.
Selain itu, antara artis yang lahir di negeri tersebut ialah Neelofa, Aedy Ashraf, Amir Raja Lawak, Aprena Manrose, Atiq Azman dan Mawi.