Sekilas
- Norhaeda Azahari, 54, masih trauma selepas kehilangan 70 ekor kucing peliharaannya dalam kebakaran rumah di Kota Bharu, Kelantan.
Rumah dua tingkat itu juga meragut nyawa ibu angkatnya, Fatimah Mat Said, 89, dan menyebabkan kerosakan pada kenderaan miliknya.
Wanita yang dikenali sebagai Norhaeda Azahari, 54, mengakui masih trauma selepas kehilangan 70 ekor kucing miliknya dalam kebakaran rumah yang berlaku baru-baru ini.
Norhaeda juga merupakan anak angkat kepada warga emas, Fatimah Mat Said, 89, yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat itu di Jalan Tok Guru, Kota Bharu, Kelantan.
"Saya masih trauma apabila kesemua 70 kucing jalanan yang dipelihara sejak lebih 10 tahun rentung dalam kebakaran pada Ahad lalu," katanya.
Norhaeda juga pernah muncul di akhbar ini mengenai kisahnya memelihara puluhan kucing jalanan pada 11 Januari 2018.
Katanya, kesemua kucing yang diletakkan di tingkat bawah rumah rentung kerana berada di dalam sangkar, bagaimanapun lapan kucing berjaya keluar menyelamatkan diri dan kini dijaga rakan peminat haiwan itu.
Buat sementara waktu, saya menumpang di rumah adik di Guchil, Bayam.
"Menyentuh berkenaan salah faham netizen yang mendakwa saya memelihara anjing, ia adalah tidak betul. Sebenarnya jiran berbangsa Cina turut menempatkan anjing liar yang ditemuinya di kandang khas di belakang rumah saya.
"Segala urusan termasuk penjagaan dan makan minum haiwan berkenaan diuruskan oleh jiran saya dan beberapa ekor anjing turut mati kerana terkena bahang panas dan asap tebal dalam kebakaran itu, bukannya berada di dalam rumah saya," ujarnya.
Terdahulu Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Yusnita Muhamed Yusoff menyantuni Norhaeda dan menyampaikan sumbangan RM500 bagi meringankan beban ditanggungnya.
Norhaeda yang mengusahakan perniagaan dobi berkata, kasih sayangnya terhadap kucing tidak berbelah bahagi, malah dia sanggup mengutip haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu yang dijumpai di tepi jalan untuk dipelihara.
"Tidak ramai sanggup pelihara kucing terbiar kerana ada yang geli melihat haiwan itu, ada juga takut kerana anggap ia berpenyakit, mudah dijangkiti virus, busuk serta kotor.
"Sebaliknya saya melihat kucing sebegini seperti manusia yang perlu dikasihi. Ia perlukan perlindungan dan peluang untuk hidup dengan baik," katanya.
Menurutnya, selain rumah pusaka yang hangus terbakar, sebuah kereta Perodua Kancil miliknya serta tiga motosikal turut musnah dijilat api.
Sumber: Harian Metro