Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Nur Fathia Mengaku Berubah Dengan Ekstrem

Kamaruddin Razal 22/02/2017 | 15:17 MYT
Pelakon Nur Fathia mengakui dirinya berubah dengan begitu ekstrem ketika mula memakai hijab setahun yang lalu.
Pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff ini mengaku dia terlalu menjaga perlakuan, perbuatan serta pemakaiannya di awal fasa perubahan.
"Saya mengaku ketika mula-mula saya berubah mengenakan hijab, saya terlalu ekstrem dalam menjaga pemakaian, perbuatan serta perlakuan saya.
"Lama kelamaan, saya rasakan perkara tersebut tidak boleh terjadi dengan begitu cepat kerana takut hati saya memberontak di kemudian hari.
"Kini saya sudah faham yang Islam itu mudah. Saya mula mengubah perkara tersebut dan saya melakukan perubahan secara perlahan-lahan.
"Saya memang belum sempurna sebagai seorang muslimah namun saya berubah ke arah perkara yang baik walaupun perubahan itu berlaku dengan perlahan," kata Fathia kepada Astro Gempak.
Tambah Fathia, dia juga tidak terasa hati dengan sikap peminatnya yang kadangkala memberi teguran terhadap caranya berpakaian.
"Saya memahami yang mereka menegur kerana mereka sayangkan saya. Walaupun kadangkala teguran yang diterima melampau, saya menerimanya dengan hati terbuka kerana saya tahu perkara tersebut adalah untuk kebaikan saya," katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah MeleTop Era 2017 (AME 2017) pada Selasa.
AME 2017 bakal berlangsung pada 23 April ini di Stadium Melawati, Shah Alam. Untuk mengundi selebriti kesayangan anda, jangan lupa untuk melayari laman web www.anugerahmeletopera.com.my!
Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Nur Fathia #Fathia Latiff
;