Sekilas
- Remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Changkat Asa sejak Sabtu lalu, ditemukan meninggal dunia tengah hari tadi.
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga melibatkan pelbagai agensi serta penggunaan anjing pengesan bagi memperluaskan radius pencarian.
- Nur Izzati dipercayai tersesat selepas berjalan sendirian ketika menuruni bukit bersama keluarganya kerana berasa panas dan penat.
Remaja perempuan yang dipercayai sesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa di sini sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia tengah hari tadi.
Mangsa, Nur Izzati Humaira Azizul sebelum ini dilaporkan hilang ketika aktiviti pendakian bersama keluarganya.
Perkara tersebut disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi satu kenyataan ringkas di BERNAMA hari ini.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan memasuki hari ketiga dengan radius pencarian diperluaskan kepada 0.5 kilometer persegi.
Pegawai Kanan JBPM, Azliza Ahmad berkata, pasukan SAR menggunakan teknik sweeping dengan tumpuan pencarian di kawasan timur Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Menurutnya, operasi tersebut turut dibantu tiga unit anjing pengesan termasuk dua daripada JBPM dan satu milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara agensi lain yang terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Persatuan Malim Gunung Perhutanan.
Sebelum ini, Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat kira-kira pukul 10.50 pagi Sabtu lalu ketika menuruni bukit bersama keluarganya selepas mengambil keputusan berjalan sendirian kerana berasa panas dan penat.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh coklat, baju lengan panjang hijau gelap, seluar panjang hitam dan kasut berwarna biru.
Sumber: BERNAMA