Polis mengesahkan pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu yang menjadi saksi dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir telah membuat laporan polis pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, laporan itu dibuat susulan ugutan yang diterima di media sosial terhadapnya.
Advertisement
"Laporan polis dibuat selepas dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth mengenai ugutan berkenaan di media sosial.
"Setakat ini hanya ada satu laporan dibuat," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Dr Jessie merupakan saksi pertama dalam prosiding inkues yang bermula Rabu lalu.
Keterangan beliau di Mahkamah Koroner mendapat kecaman warganet di media sosial berhubung kematian Zara Qairina.
Dalam prosiding tersebut, Dr Jessie yang juga Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) menolak kemungkinan Allahyarhamah Zara Qairina ditolak atau diserang sehingga jatuh dari tingkat tiga asramanya, sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan itu pada awal pagi 16 Julai lalu.
Sumber: Sinar Harian