Sekilas
- Sepasang suami isteri di Oklahoma ditahan kerana meninggalkan tiga anak mereka yang berusia 8, 5, dan 1 tahun tanpa pengawasan orang dewasa semasa mereka bermain pickleball.
- Pihak polis menerima laporan selepas seorang individu mengesyaki kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian dan mendapati dakwaan bahawa anak-anak bersama pengasuh adalah tidak benar.
- Pasangan tersebut kini berdepan tiga pertuduhan mengabaikan kebajikan kanak-kanak selepas siasatan mendapati kejadian itu bukan kali pertama berlaku.
Kegembiraan sepasang suami isteri di Oklohama keluar bermain pickleball berhujung padah apabila ditahan dan dituduh mengabaikan kebajikan anak.
Hal itu kerana pasangan yang dikenali sebagai Andrew Dick dan Feather Roberts itu didapati meninggalkan tiga anak mereka yang masih kecil dengan masing-masing berusia 8, 5 dan 1 tahun berada di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.
Menurut kenyataan Jabatan Polis Glenpool, pihak berkuasa menerima panggilan 911 daripada seorang individu yang mengesyaki kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa pada 30 Ogos lalu.
Lebih mengejutkan, ketika dihubungi, Roberts didakwa memberitahu bahawa dia dan Dick sedang bermain pickleball di sebuah gelanggang di Bixby, kira-kira 20 minit dari kediaman mereka, lapor People.
Roberts juga didakwa mendakwa anak-anak mereka berada bersama pengasuh. Namun, apabila individu terbabit pergi ke rumah tersebut, dakwaan itu ternyata tidak seperti yang dikatakan apabila mereka ditemui bersendirian.
Ketika polis tiba, anak berusia 8 dan 5 tahun dilaporkan sedang menonton televisyen, manakala adik mereka yang baru berusia setahun sedang tidur.
Apabila pasangan itu pulang, polis bertanyakan bagaimana anak-anak mereka boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.
Roberts didakwa memberitahu anak-anak mereka boleh menggunakan sebuah iPad untuk menghubungi ibu bapa.Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut dipercayai bukan kali pertama pasangan berkenaan meninggalkan anak-anak mereka tanpa pengawasan.
Polis turut mengetahui pasangan itu mempunyai seorang lagi anak, iaitu bayi, namun penjagaan bayi berkenaan telah diatur terlebih dahulu.
Akibat tindakan tersebut, Dick dan Roberts berdepan tiga pertuduhan mengabaikan kebajikan kanak-kanak.