Skip to main content

Berita

Pasangan Suami Isteri Ditemukan Maut Dalam Keadaan Jasad & Kepala Terpisah - “Mayat Mereka Berbungkus & Ditutupi Dengan Permaidani”

Mayat

Sekilas

  • Sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka ditemui mati dalam keadaan tragis di sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok, Kedah dengan mayat yang dipotong dan dibungkus di dalam rumah.
  • Polis percaya pembunuhan berlaku di tempat lain sebelum mayat dikumpulkan di rumah tersebut, dan suspek dipercayai sudah meninggal dunia serta mempunyai rekod gangguan mental.
  • Siasatan masih berjalan dengan lima saksi dipanggil memberi keterangan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok, Kedah dalam keadaan yang sungguh menyayat hati.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, mayat suami isteri yang dikenali sebagai Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya, Suraya Man, 53, itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan dibungkus di dalam permaidani dan kain di dapur rumah.

Selain Zikri dan Suraya, pihak polis turut menemui mayat seorang lelaki yang dipercayai anak kepada wanita terbabit yang dikenali sebagai Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz.

Tambah Hanyan, mayat anak lelaki mereka pula ditemukan di dalam bilik bahagian atas rumah dua tingkat itu dengan kesan kelar di leher.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12.30 malam tadi yang memaklumkan bahawa pasangan suami isteri yang menghuni rumah terbabit sudah tiga hari tidak kelihatan selain terhidu bau busuk sekitar kawasan rumah.

"Siasatan di lokasi mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan gelap, ada bau busuk yang kuat dan pintu berkunci dari dalam.

"Kita terpaksa pecah masuk dan menemui dua mayat, pasangan suami isteri, yang berbungkus dan ditutupi dengan permaidani serta pakaian, di kawasan dapur rumah itu.

"Terdapat percikan darah pada kawasan ruang tamu malah terdapat tanda percubaan untuk melupuskan mayat kerana terdapat kesan di ruang tamu yang sudah dibersihkan,” katanya.

Pasangan suami isteri itu dipercayai mati lebih 48 jam dengan keadaan mayat sudah membengkak dan berbau.

Hanyan berkata, pihaknya juga percaya pembunuhan telah berlaku kawasan lain sebelum mayat dikumpulkan di rumah itu.

"Selain itu, pada mayat pasangan suami isteri itu terpisah kepala dan badan kedua-duanya dalam keadaan mulai reput manakala satu lagi mayat dalan keadaan masih baru.

"Selain itu ada mayat yang dipotong dalam proses untuk dilupuskan termasuk kedua-dua kepala terputus manakala badan lain ada kesan pemotongan.

"Selain itu polis turut menemui beberapa senjata tajam dikumpulkan dalam bekas yang dikumpulkan berdekatan mayat ketiga, " katanya.

Mengikut siasatan yang dilakukan, polis mendapati kes menjurus kepada perbuatan bunuh dan suspek juga dipercayai sudah meninggal dunia.

"Maklumat yang diperoleh menyatakan bahawa lelaki berusia 29 tahun itu pernah mengalami gangguan mental pada tahun 2018 ke 2019, namun tidak pernah mengganggu masyarakat sekeliling.

"Seorang lagi anak mangsa wanita yang berkerja sebagai tentera, baru sahaja kembali ke rumahnya di Johor, Isnin lalu, selepas pulang beraya di situ," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata setakat ini lima orang saksi telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

Anda mungkin berminat dengan

My Ballerine Jenny Comfy Sandals

My Ballerine Jenny Comfy Sandals

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

SHELLTART DANISYA 60pcs

SHELLTART DANISYA 60pcs

SHEGLAM Buttery Bliss Face Blush Stick

SHEGLAM Buttery Bliss Face Blush Stick

Uniqlo Premium Linen Shirt | Long Sleeve

Uniqlo Premium Linen Shirt | Long Sleeve

Must-Watch Video

Advertisement