Sekilas
- Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Norhazwani Ibrahim, ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya di Kuarters KLIA pada malam Khamis.
- Suspek yang juga suami mangsa telah menyerah diri di balai polis dan sedang membantu siasatan polis yang dijalankan di lokasi kejadian.
- Keluarga mangsa terkejut dan sedih dengan kejadian itu, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Satu kejadian tragis menimpa seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Norhazwani Ibrahim, ditemukan maut selepas dipercayai dibunuh suaminya sendiri.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, mereka menerima maklumat mengenai kejadian yang berlaku di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu sekitar jam 8.30 malam Khamis.
Menurut beliau lagi, suspek yang merupakan suami mangsa telah pun menyerahkan diri di balai polis sejurus selepas kejadian.
“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian bagi mengenal pasti motif pembunuhan serta mengesahkan waktu tepat insiden berkenaan berlaku.
“Suspek turut dibawa semula ke tempat kejadian bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, abang sulung kepada mangsa iaitu Amran Ibrahim ternyata terkejut dan tidak menyangka kejadian tersebut menimpa adiknya.
Ujarnya, dia sukar mempercayai akan berita kematian adiknya itu apatah lagi apabila dimaklumkan mangsa disyaki dibunuh suaminya sendiri.
“Sebagai orang Islam, keluarga menerima kematian arwah, tapi tak sangka caranya begini.
“Kira-kira jam 7.30 malam ketika saya berada di rumah, salah seorang adik lelaki saya menelefon dan memaklumkan arwah dibunuh suaminya yang telah pun menyerah diri di balai polis.
“Saya pada mulanya tidak percaya dan segera hubungi balai polis yang mengesahkan adik saya telah mati ditikam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Amran mengakui berasa kesal, namun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami terlalu sedih atas apa yang berlaku, sebab dia adik bongsu kami. Memang rasa geram, tetapi kami serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Awani