Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka mengalami trauma termasuk tidak mahu ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dua pelajar senior.
Lebih menjijikan perbuatan tersebut dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas di Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang pada minggu lalu.
Advertisement
Sumber berkata, kejadian pada 2 Oktober itu terbongkar selepas video aib perbuatan tidak bermoral itu tersebar dalam kalangan pelajar sebelum dimaklumkan kepada guru dan seterusnya diketahui ibu mangsa pada petang Jumaat.
Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa berusia 15 tahun telah berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
Namun katanya, sebaik mangsa menyedari dua pelajar lelaki senior berusia 17 tahun menghendapnya dari celah pintu kelas mangsa segera mahu beredar.
"Tetapi suspek pertama tiba-tiba menarik tangannya, menutup mulut dan menolaknya semula ke dalam kelas.
"Manakala seorang lagi suspek bertindak mengawal kawasan tangga dan dua rakan mereka turut berada di dalam kelas menyaksikan perbuatan terkutuk itu," katanya.
Tambahnya, suspek pertama kemudian telah bertindak membogelkan dan merogol mangsa, sebelum suspek kedua turut melakukan perkara sama.
Ujarnya, seorang lagi rakannya merakam kejadian menggunakan telefon bimbit milik suspek pertama, manakala seorang lagi menjaga kawasan kelas.
Katanya, mangsa yang trauma dan ketakutan enggan ke sekolah selepas kejadian itu sehinggalah ibunya dimaklumkan oleh guru tentang penyebaran video berkenaan.
“Selepas melihat video tersebut, ibu mangsa membawa anaknya membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah.
"Mangsa kini dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut dan masih menjalani rawatan serta sesi kaunseling," ujarnya lagi.
Jelasnya, susulan laporan polis, keempat-empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang dijangka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan telah ditahan pada hari sama laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan dan kes masih dalam siasatan.
"Kesemua suspek direman enam hari sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan," katanya.
Sumber: Sinar Harian